suria

MCA: Masih 13 Orang Sahaja Yang Letak Jawatan

PETALING JAYA: Setiausaha Agung MCA, Datuk Wong Foon Meng berkata, mana-mana ahli jawatankuasa pusat parti yang berhasrat untuk meletakkan jawatan mereka selepas tarikh akhir 25 Disember ini sebagaimana yang ditetapkan masih boleh berbuat demikian kerana perlembagaan parti tidak meletakkan sebarang tempoh waktu.

“Tarikh 25 Disember hanyalah untuk urusan pentadbiran sahaja dan jika ada sesiapa yang hendak meletakkan jawatan mereka selepas tarikh tersebut mereka masih boleh berbuat demikian,” katanya.

Beliau menambah, sehingga semalam jumlah mereka yang telahpun mengemukakan surat perletakan jawatan kekal 13 orang. Jumlah ini masih belum memadai bagi membolehkan satu pemilihan jawatan baru diadakan.

Perlembagaan MCA menetapkan, untuk membolehkan satu pemilihan semula pucuk pimpinan diadakan, mereka memerlukan sekurang-kurangnya 21 daripada 31 ahli jawatankuasa pusat yang dipilih oleh perwakilan meletakkan jawatan.

Foon Meng berkata, beliau akan memanggil satu sidang akhbar khas selepas Jumaat ini untuk memaklumkan kepada pihak media perkembangan terkini berhubung status ahli jawatankuasa pusat MCA yang meletakkan jawatan.

Pada 15 Disember lalu, Naib Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Tan Kok Hong; Lee Wei Kiat, Dr Hou Kok Chung, Datuk Yu Chok Tow, Wong Nai Chee, Datuk Wee Jeck Seng, Senator Datuk Dr Yeow Chai Thiam, Datuk Hoh Khai Mun, Datuk Liew Yuen Keong, Datuk Wong Mook Leong, Datuk Edward Khoo Keok Hai dan Senator Datuk Alex Wong Siong Hwee menyerahkan surat perletakan jawatan masing-masing kepada Foon Meng di Ibu Pejabat MCA di Jalan Ampang.

Cadangan mengadakan pemilihan awal parti adalah jalan kompromi yang berjaya dicapai di antara dua kumpulan yang bertelagah dalam MCA bagi mengakhiri kemelut kepimpinan mereka.

Artikel Lain