suria

Mayat Dengan Kesan Tikaman Ditemui Di Tepi Jalan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di bahagian depan dan belakang badannya di tepi jalan di Sungai Besar, Sabak Bernam tengah malam semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, mayat lelaki yang dipercayai berumur 33 tahun itu dijumpai terbaring oleh orang ramai yang melalui kawasan berkenaan pada kira-kira pukul 12.15 tengah malam.

"Turut ditemui ialah senjata tajam yang dipercayai digunakan untuk membunuh lelaki itu," katanya ketika ditemui pemberita pada Sambutan Hari Ulang tahun Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat lelaki itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang untuk dibedah siasat dan polis mengklasifikasi kes itu sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu Khalid berkata, Isnin lepas polis menerima satu aduan berhubung kata-kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada Konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam baru-baru ini, yang dianggap pengadu sebagai mempunyai unsur hasutan.

Beliau berkata, aduan itu sedang disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948. - BERNAMA

Artikel Lain