suria

Lupakan Negara Asal, Kita Adalah Rakyat Malaysia - Mahathir

PULAU PINANG: Setiap orang di Malaysia harus mengetepikan negara asal mereka dan mesti menganggap mereka adalah seorang rakyat Malaysia bagi menjayakan konsep 1Malaysia, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri berkata mereka harus melupakan negara asal mereka seperti India atau China dan menganggap diri mereka sebagai rakyat Malaysia.

"Mereka harus ketepikan negara asal mereka dan jadilah warga negara Malaysia bagi memastikan gagasan 1Malaysia berjaya dicapai," katanya ketika berucap pada majlis makan malam penghargaan Pertubuhan Muslim Kadayanallur di sini.

Beliau menggesa rakyat negara ini supaya membantu merealisasikan aspirasi kerajaan untuk mengukuhkan perpaduan kaum dan keharmonian sejajar dengan konsep 1Malaysia.

Dr Mahathir berkata rakyat Thailand dan Indonesia masing-masing menganggap diri mereka sebagai rakyat 'Thai' dan 'Indonesia' tetapi keadaan itu tidak berlaku di sini.

Mengulas dakwaan bahawa komuniti India Muslim di negara ini dipinggirkan, beliau berkata mereka harus memilih sama ada untuk menjadi seorang Islam atau India.

"Negara ini sangat liberal dan saya fikir India Muslim akan diterima oleh semua sekiranya mereka memilih sama ada untuk menjadi seorang Islam atau India," katanya.

Dr Mahathir berkata tiada perbezaan di antara kaum kerana semuanya adalah rakyat Malaysia.

"Perlembagaan Persekutuan memberi takrifan jelas mengenai Islam. Sekiranya mereka memilih untuk memeluk Islam jadi harus turuti perlembagaan itu," katanya.

Beliau berkata sekiranya India Muslim di negara ini masih menganggap seperti itu, masyarakat akan berfikiran mereka masih mempunyai hubungan dengan negara asal.

"Masalah yang dihadapi komuniti India Muslim akan selesai sekiranya mereka memilih sama ada memeluk Islam atau seorang India," kata beliau. BERNAMA

Artikel Lain