suria

Lelaki Maut Ditikam Ketika Ke Restoran

SABAK BERNAM: Seorang lelaki mati ditikam sekumpulan lelaki kira-kira 30 meter dari sebuah restoran di Jalan Bunga Raya, pekan Sungai Besar, di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supritendan Noor Mushar Mohamad berkata, Cheah Song Foo, 33, yang berasal dari Bagan, Sungai Besar baru hendak sampai ke restoran itu apabila dia tiba-tiba didatangi kira-kira 10 lelaki.

Beliau berkata, Cheah cuba melarikan diri namun dikepung sebelum ditetak, dan dia mati ditempat kejadian dengan enam kesan tikaman ditemui di bahagian badan, perut dan kepala.

Katanya, motif pembunuhan dipercayai ada kaitan dengan kegiatan kongsi gelap atau dendam, dan polis percaya kesemua suspek bukan orang tempatan yang datang dengan menaiki sebuah pacuan empat roda, dua kereta jenis Honda dan sebuah kereta jenis Mercedes.

"Hasil maklumat orang ramai polis percaya semua kereta itu kemudiannya menghala ke arah Teluk Intan, Perak," katanya dan menambah ada saksi yang sempat melihat dua nombor pendaftaran kereta Honda, iaitu 9078 dan 1717 (nombor sahaja).

Bercakap kepada pemberita dalam satu persidangan media di sini hari ini beliau berkata, mayat Cheah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) di sini dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu diminta menghubungi pegawai penyiasat R.Subramaniam dengan menelefon 012-3301679 atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam 03-32245963 bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain