suria

Bayi Perempuan Kritikal Dipercayai Didera

KUANTAN: Seorang bayi perempuan berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dipercayai didera ibu bapanya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Kuantan, Deputi Supritendan Kamaruzzaman Jaafar berkata, bayi berusia tujuh bulan itu mengalami pendarahan otak dan mata, sawan serta kesan lebam lama pada badannya dipercayai didera sepasang suami isteri berusia 20 dan 19 tahun di Lorong Perdana, Bukit Setongkol di sini sejak beberapa minggu lepas.

Katanya, kejadian tersebut dilaporkan oleh doktor yang merawatnya selepas pasangan tersebut menghantar anak perempuan mereka ke HTAA kira-kira 10 pagi semalam kerana bayi itu sakit.

"Pasangan itu mendakwa anak perempuan mereka terjatuh ketika didukung sehingga menyebabkan dia sakit namun doktor yang merawat bayi itu mengesyaki dia mungkin didera dan diabaikan sehingga sakit," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil laporan tersebut, polis menahan suspek untuk diambil keterangan dan akan direman selama tujuh hari.

Kamaruzzaman berkata, bayi berkenaan kini dilaporkan stabil.

Dalam perkembangan lain, polis menahan dua lelaki yang sedang membakar beberapa kabel elektrik di dalam semak di Kampung Kempadang, Jalan Pak Mahat dekat sini semalam.

Menurut Kamaruzzaman, kejadian pada 1.30 petang itu disedari ketua kampung berkenaan apabila terlihat asap berkepulan di kawasan berkenaan dan mendapati mereka berusia 19 dan 39 tahun sedang membakar kabel curi yang dianggarkan bernilai RM300.

Pada hari yang sama, seorang lelaki ditahan polis kerana cuba mencuri peralatan lampu di sebuah bengkel di Kawasan Perindustrian Indera Mahkota di sini.

Katanya, kejadian pada jam 3 petang itu disedari seorang mekanik yang sedang bekerja di bengkel tersebut yang terdengar bunyi di dalam stor tingkat atas sebelum memeriksanya dan mendapati suspek lelaki berusia 20-an itu cuba mengambil peralatan lampu di situ. - BERNAMA

Artikel Lain