suria

Syarikat Noradz Didakwa Terima Deposit Tanpa Lesen

KUALA LUMPUR: Syarikat pelancongan Noradz Travel & Services Sdn Bhd hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen.

Pengarahnya, Noradzma Adzhar, 33, yang mewakili syarikat itu mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan.

Syarikat itu didakwa melakukan kesalahan di bawah seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 (Akta 372), di No 14-1A, Jalan 3/10, Pandan Jaya di antara Julai 2006 hingga Oktober 2008.

Semalam, Noradzma menghadapi 166 pertuduhan bagi kes pengubahan wang haram yang melibatkan RM60 juta dan satu kes yang juga melibatkan penerimaan wang deposit tanpa lesen di tempat dan waktu yang sama.

Turut sama didakwa semalam adalah bapanya, Datuk Adzhar Sulaiman, 54, dan adiknya Noradzrin, 24, kedua-duanya pegawai kanan syarikat berkenaan bagi kesalahan pengubahan wang haram.

Hakim Fathiyah Idris hari ini membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen yang akan mendengar kesemua kes membabitkan ketiga-tiga pegawai kanan syarikat pelancongan itu pada 18 Februari tahun depan.

Syarikat Noradz mempunyai beberapa rangkaian syarikat termasuk penerbitan drama dan filem, penyewaan kereta, agensi pelancongan serta pelaburan, dan ia juga pernah menerbitkan filem bertajuk 'Shhh... Dia Datang', lakonan Saiful Apek dan beberapa drama yang ditayangkan di Astro.

Pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa dari Bank Negara, Alvin Ong manakala Norazdma diwakili Peguam Abdul Rahim Sinwan. - BERNAMA

Artikel Lain