suria

Stesen Minyak Seleweng Urus Niaga Disita

PADANG BESAR: Sebuah stesen minyak yang beroperasi di pinggir sempadan Malaysia-Thailand dekat sini disita selepas satu serbuan oleh pihak berkuasa hari ini.

Penolong Pengarah Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis, Abd Halim Pakri berkata, stesen minyak itu disita bersama kira-kira 10,000 stok diesel setelah mendapati ia melakukan penyelewengan dalam urus niaganya.

Katanya pemilik stesen minyak yang terletak di Kampung Kolam itu didapati melakukan penyelewengan lesen borong dengan menjual diesel subsidi secara runcit termasuk kepada rakyat asing.

Abd Halim yang ditemui selepas serbuan ke atas stesen minyak itu berkata, seorang lelaki rakyat tempatan berusia 40 tahun yang juga pemilik premis itu mendakwa diesel dalam simpanannya adalah stok industri dan bukan yang bersubsidi.

Bagaimanapun menurutnya ujian ke atas diesel itu mendapati bahan api itu positif dengan kesan teknologi nano, sekali gus mengesahkan semua diesel berkenaan adalah stok subsidi dan dikawal pihak berkuasa.

Katanya, kira-kira 10,000 liter diesel dianggarkan bernilai RM28,000 disita untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurut Abd Halim, kira-kira seminggu lalu, sebuah stesen minyak yang terletak kira-kira 50 meter dari situ turut disita kerana melakukan penyelewengan urus niaga.

Sementara itu, Abd Halim berkata pihaknya kini sedang memantau operasi semua 34 pam minyak di negeri ini termasuk sejumlah kecil yang dipercayai beroperasi secara haram, terutama di sekitar kawasan sempadan baik di Padang Besar, Wang Kelian atau Kuala Perlis.

Beliau berkata, para pengusaha stesen minyak akan terus dipantau bagi memastikan mereka mematuhi garis panduan urus niaga minyak termasuk jualan maksimum 20 liter minyak kepada warga asing. - BERNAMA

Artikel Lain