suria

Peniaga Diingat Patuhi Harga Kawalan Musim Perayaan

KUALA TERENGGANU: Peniaga yang berurusniaga barang-barang harga terkawal skim kawalan harga musim perayaan Krismas 2009 diingatkan supaya mematuhi harga maksimum yang ditetapkan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri, Mohd Helmi Mohd Noor berkata, peniaga tidak dibenarkan menjual barang-barang yang tersenarai dalam skim ini melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan.

"Sungguhpun demikian, peniaga diminta menjual barang-barang tersebut lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperolehi lebih rendah daripada harga maksimum yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas membuat pemeriksaan di sebuah pasaraya di sini hari ini.

KPDNKK telah menetapkan harga maksimum borong dan runcit bagi 13 jenis barang harga terkawal untuk dikuatkuasakan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas (SKHMP KMS) 2009.

Barang-barang itu ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, ayam belanda import, daging lembu tempatan, daging kambing tempatan, daging kambing biri-biri import, daging kambing biri-biri import tanpa tulang, teluar ayam gred A, B dan C, tomato dan cili benggala hijau.

Mohd Helmi berkata, tahun ini SKHMP KMS dilaksanakan buat pertama kali untuk perayaan Krismas. Skim itu akan bermula pada 23 hingga 27 Disember ini Tempoh penguatkuasaan adalah lima hari iaitu dua hari sebelum dan dua hari selepas hari perayaan.

Beliau berkata, peniaga barang-barang harga terkawal dikehendaki memiliki lesen khas yang boleh didapati secara percuma di semua cawangan pejabat kementerian berkenaan di negeri Terengganu.

"Lesen yang telah diperoleh semasa SKHMP HRP (Hari Raya Puasa) 2009 adalah masih sah dan terpakai untuk SKHMP KMS 2009, dan setakat ini sebanyak 2,173 lesen telah dikeluarkan di seluruh negeri Terengganu," katanya.

Mohd Helmi berkata, peniaga perlu mematuhi syarat-syarat lesen, antaranya menggunakan plat tanda harga berwarna merah jambu, mempamerkan lesen dan tidak menjual barang harga terkawal melebihi harga maksimum yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

"Skim ini akan berjaya sekiranya semua pihak bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing, atau pengguna boleh menyalurkan aduan kepada kementerian melalui e-aduan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain