suria

Pemuda Pas Kelantan Hormati Keputusan Dr Rosli Allani

PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Kelantan menghormati keputusan Ketua Penerangannya, Dr Rosli Allani Abd Kadir yang mahu melepaskan semua jawatan dalam parti berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS negeri, Muhd Hafiz Musa berkata, tindakan Dr Rosli adalah kehendaknya sendiri tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.

"Tak ada siapa-siapa tekan, dia letak jawatan atas kerelaan hatinya sendiri demi kepentingan parti.

"Kita hormati kehendaknya kalau itu yang dia mahu," katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan bekas Pegawai Khas Exco semalam yang melepaskan semua jawatan di dalam parti sehari selepas diperintahkan Mahkamah Tinggi Syariah agar tidak tinggal bersama isteri keduanya.

Keputusan itu dibuat beliau selepas kes perkahwinannya dengan Ilyani Mohd Noor, 30, mendapat liputan meluas media.

Ia berikutan permohonan bapa mertuanya, Mohd Noor Che Man, 58, seorang ahli perniagaan untuk membatalkan perkahwinan mereka kerana percaya perkahwinan yang berlangsung di Masjid Lapangan Terbang Subang, Selangor pada 26 Disember 2008, tidak sah.

Dalam pada itu, ditanya sama ada Dr Rosli sudah mengemukakan surat peletakannya, Muhd Hafiz berkata, sehingga tengah hari tadi pihaknya masih belum menerima sebarang surat mengenai hasrat itu.

"Sehingga tadi kita tak terima lagi surat dari Dr Rosli," katanya sambil menjelaskan hanya mengetahui mengenai peletakan jawatan tersebut melalui akhbar.

Beliau bagaimanapun mengesahkan bahawa pihaknya sudah dimaklumkan mengenai perkara tersebut kelmarin.

"Kita memang dah tahu dia nak letak jawatan, kelmarin dia ada hubungi Ketua Pemuda (Abd Latif Abd Rahman) dan maklumkan mengenai perkara ini.

"Saya pun memang dah dapat maklumat mengenai perkara ini dari dialah (Abd Latif)," katanya.

Ditanya sama ada beliau ada menghubungi Dr Rosli bagi mendapatkan maklumat lanjut, beliau berkata: "Tak dapat nak hubungi, telefonnya dimatikan... mungkin dia perlukan masa untuk berehat."

Sementara itu, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Baihaqi Atiqullah berkata, beliau turut gagal menghubungi Dr Rosli bagi mendapatkan perkembangan terkini.

"Saya pun tak sempat nak bercakap dengan dia lagi, telefon pun tak dapat," katanya.

Artikel Lain