suria

Pemuda BN Pulau Pinang Akur Nasihat PM

PULAU PINANG: Pemuda Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang akur dengan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya isu jawatan Pengerusi BN negeri yang hangat diperdebatkan di antara pemimpin parti komponen dihentikan serta merta.

Keputusan sebulat suara itu dicapai selepas perbincangan hampir dua jam di antara pemimpin pemuda BN terdiri daripada bendahari Pemuda Umno Negeri, Aziaan Ariffin, Ketua Pemuda Gerakan negeri, Oh Tong Keong, Ketua Pemuda PPP negeri, M Manikumar dan Ketua Pemuda MIC negeri, J.Dhinagaran.

Aziaan berkata, perjumpaan itu dibuat bagi mencari satu jalan penyelesaian berhubung beberapa perkara berbangkit yang berlaku dalam BN negeri.

"Kami setuju dengan nasihat Pengerusi BN (Najib) supaya isu Pengerusi BN dihentikan kerana pertelingkahan terbuka tidak akan membawa sebarang keuntungan kepada negara dan rakyat," katanya di sini malam semalam.

Aziaan berkata, selepas ini apa jua yang berlaku atau sebarang masalah berbangkit yang timbul antara parti komponen BN negeri akan dibincangkan serta selesaikan secara dalaman.

"Kami sebulat suara bersetuju untuk tidak lagi berdebat mengenai isu Pengerusi BN negeri serta isu-isu lain secara terbuka," katanya.

Sebelum ini, Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang meminta supaya jawatan Pengerusi BN yang diperuntukkan kepada Gerakan diserahkan semula kepada parti itu memandangkan parti komponen BN yang lain di negeri itu tidak memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya umum lepas. BERNAMA

Artikel Lain