suria

Pemilik Mykad Bakal Terima Ganjaran Melalui Sahabat 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Pemilik MyKad yang mendaftar sebagai Sahabat 1Malaysia boleh menikmati ganjaran dalam bentuk wang tunai apabila membeli-belah di 500 syarikat yang menyokong kempen tersebut di seluruh negara.

Pengarah Urusan Kumpulan MRewards International Sdn Bhd, Tan Hang Ming yang mengendalikan program itu berkata, setakat ini hampir 10,000 orang telah berdaftar sebagai Sahabat 1Malaysia secara percuma dengan hanya menggunakan MyKad masing-masing.

"Setakat ini pendaftaran dilakukan di 'booth' kami semasa kempen atau pameran anjuran kerajaan. Program hanya akan dilancarkan Januari tahun depan," katanya pada sidang media Pengumuman Keahlian Sahabat 1Malaysia Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) di sini hari ini.

Selain itu, menurut Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya, antara objektif program itu ialah untuk mendapatkan maklumat mengenai keanggotaan dan sambutan terhadap konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ia juga sebagai kayu pengukur keberkesanan kempen Gagasan 1Malaysia di kalangan rakyat yang merupakan Indeks Prestasi Utama (KPI) RTM (Radio Televisyen Malaysia)," katanya.

Beliau berkata, pelancaran program itu akan turut menggalakkan perpaduan di kalangan pengguna dan pemilik syarikat melalui penggarapan Gagasan 1Malaysia dalam bidang ekonomi.

Antara organisasi yang terlibat ialah Eon Bank Group, Tourism Malaysia dan England Opticals Group. Maklumat lanjut mengenainya boleh didapati di laman web www.sahabat1malaysia.com. - BERNAMA

Artikel Lain