suria

Mangsa Mati Dijerut Sebelum Dihumban Ke Kolam - Polis

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak perempuan yang ditemui mati dalam Kolam Tadahan Banjir, Kampung Boyan, Lorong Gurney, Jalan Semarak di sini semalam dibunuh dengan kejam iaitu dijerut dengan kuat di leher menggunakan sehelai tuala.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, hasil bedah siasat oleh pakar patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapati terdapat kesan-kesan lebam di leher mangsa, tetapi tidak di bahagian badan yang lain.

Katanya, mangsa yang berumur kira-kira 12 tahun itu dipercayai dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak ke kawasan berkenaan yang berpagar dan berkunci tetapi terdapat beberapa ruang yang boleh diceroboh.

"Sama ada terdapat unsur liwat atau rogol, polis tidak dapat mempastikannya kerana masih menunggu pemeriksaan lanjutan oleh pihak patologi dan laporan daripada Jabatan Kimia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas memperoleh laporan bedah siasat daripada HKL di sini hari ini.

Mengenai identiti dan bangsa mangsa terbabit, Zakaria berkata, ia tidak dapat dipastikan melainkan mangsa berketinggian 121 sentimeter, berkulit gelap, mirip kepada bangsa India dan Melayu, bertubuh gempal, berambut hitam pendek dan lututnya melecet.

Tambahnya, mangsa berada dalam keadaan separuh bogel, berbaju tidur yang bertali, berbintik-bintik biru dengan motif 'teddy bear' di beberapa tempat pada bajunya.

Terdahulu Zakaria menegaskan, polis enggan mengaitkan kes penemuan mayat kanak-kanak perempuan itu dengan kes Nurin Jazlin dan Sharlinie Mohd Nashar.

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Katanya, polis mengkategorikan kes itu sebagai kes baru atau berasingan daripada kes-kes terdahulu.

"Polis berharap ia tidak disensasikan atau dikaitkan dengan kes-kes sebelum ini," katanya yang menambah tiada suspek dikenal pasti setakat ini.

Bagaimanapun katanya, polis akan menyiasat kes itu daripada semua sudut termasuk ia mungkin dilakukan oleh ahli-ahli keluarga sendiri.

Nurin, 9, diculik pada 20 Ogos 2007. Mayatnya yang diperlakukan dengan kejam ditemui dalam sebuah beg pada 16 September.

Seorang kanak-kanak perempuan, Sharlinie, 5, hilang dari rumahnya di Taman Medan pada 9 Januari 2008. Dia tidak dijumpai selepas itu.

Artikel Lain