suria

Kes Demam Denggi, Chikungunya Catat Penurunan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 813 kes demam denggi dengan satu kematian akibat penyakit itu dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh antara 13 dan 19 Disember ini, yang merupakan penurunan 106 kes jangkitan atau 12 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam satu kenyataan hari ini berkata, tiga negeri menunjukkan peningkatan kes denggi sepanjang minggu lepas iaitu Pahang 100 peratus, Terengganu 18 peratus dan Negeri Sembilan tiga peratus.

Beliau berkata, jumlah terkumpul kes denggi sehingga 19 Disember lepas ialah 39,794 kes dengan 84 kematian, iaitu penurunan sebanyak 12 peratus berbanding 45,649 kes dengan 100 kematian bagi tempoh yang sama tahun 2008.

Kes kematian akibat denggi yang dilaporkan minggu lepas membabitkan seorang suri rumah berumur 26 tahun dari Taman Selasih, Gombak yang meninggal dunia sehari selepas melahirkan anak pertamanya, dan kawasan itu didapati mengalami tujuh kali wabak denggi sepanjang tahun ini.

Menurutnya sepanjang minggu lepas sembilan kawasan didapati bebas "hot spot" denggi tetapi terdapat sembilan kawasan "hot spot" baru muncul minggu ini menjadikan jumlah keseluruhan kekal 19 seperti minggu sebelumnya. "Risiko jangkitan denggi masih tinggi di kawasan "hot spot" kerana masih terdapat 53 peratus iaitu 10 daripada 19 kawasan itu mempunyai kadar pembiakan Aedes yang tinggi," katanya.

Mengenai penyakit Chikungunya, beliau berkata, bilangannya juga mencatatkan penurunan kepada 107 berbanding 189 kes pada minggu sebelumnya.

"Sarawak menjadi penyumbang tertinggi jumlah kes wabak ini dengan mencatatkan 97 peratus kes yang dilaporkan seluruh negara," katanya.

Jumlah terkumpul kes Chikungunya sehingga 19 Disember adalah 5,340 kes, dengan semua 22 kawasan wabak itu terletak di Sarawak.

Walaupun terdapat penurunan kes denggi pada minggu lepas, orang ramai diminta meningkatkan usaha menghapuskan tempat pembiakan Aedes di kawasan perumahan mereka. - BERNAMA

Artikel Lain