suria

Kastam Rampas Arak RM2.5 Juta

BUTTERWORTH: Kastam Diraja Malaysia Pulau Pinang berjaya merampas pelbagai jenis minuman keras bernilai hampir RM2.5 juta termasuk duti dalam satu operasi di Pelabuhan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini, Isnin lepas.

Pengarahnya, Datuk Matrang Suhaili berkata, hasil siasatan dan intipan sejak seminggu lepas, pihaknya menahan dua kontena dari India dalam operasi kira-kira pukul 7.30 malam itu.

Beliau berkata, dua kontena yang dibawa masuk dari India itu diiikrar sebagai barang dagangan 2,240 beg 'Tumeric finger' yang tidak tertakluk kepada sebarang cukai atau larangan.

"Tetapi apabila diperiksa, kedua-dua kontena itu sebenarnya didapati membawa 4,116 karton minuman keras pelbagai jenama yang bernilai kira-kira RM2.5 juta termasuk nilai cukai yang cuba dielak," katanya pada satu sidang media di sini hari ini.

Matrang berkata, hasil pemeriksaan lanjut pihaknya mendapati sindiket itu menggunakan nama sebuah syarikat pengimport rempah di Gombak untuk membuat ikrar tanpa pengetahuan syarikat terbabit.

Beliau berkata, ekoran rampasan itu pihaknya turut menahan seorang agen penghantaran berumur lingkungan 40-an bagi membantu siasatan, dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 (semakan 1980) iaitu terlibat mengimport atau mengeksport barang-barang tak berkastam atau apa barang larangan. - BERNAMA

Artikel Lain