suria

Azizan Tekad Berenang Dari Perlis Ke Kelantan

KANGAR: Perenang veteran, Azizan Ali yang gagal melaksanakan misinya berenang menyeberangi Selat Inggeris tahun ini akibat kegagalan mendapat penaja bertekad untuk mencipta rekod baru dengan berenang dari perairan Perlis ke Kelantan sejauh 2,000 kilometer.

Perenang berusia 62 tahun itu berkata, renangan yang dikenalinya sebagai "renangan 1Malaysia" itu yang bermula di Kuala Perlis dan berakhir di Pantai Cahaya Bulan, Kelantan dijangka akan dilakukannya pada Julai tahun depan.

Beliau menjangkakan dapat menamatkan renangan yang bermula 25 Julai 2010 itu dalam tempoh 20 hari.

"Saya terpaksa lupakan misi merentasi Selat Inggeris kerana ia membabitkan wang yang begitu besar sebaliknya saya membuka azam baru untuk menjayakan Renang 1Malaysia," katanya.

Menurutnya, bagi menjayakan renangan selat Inggeris beliau diminta membuat pembayaran sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Renang Selat Inggeris di samping yuran pendaftaran nama RM10,000 kepada persatuan itu selaku pengelola program.

Sepanjang tahun ini, Azizan telah menjayakan tiga program utama iaitu berenang 350 pusingan selama lapan jam tanpa henti di kolam renang Kompleks Sukan Negeri Perlis pada 6 April diikuti renangan sempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei dari jeti Kuala Perlis ke perairan sempadan Thailand sejauh 30 kilometer.

Pada 15 September lalu, beliau berenang sejauh 25 kilometer dari Kuala Perlis ke Kuala Kedah dan kemudian mengayuh basikal dari Kuala Kedah kembali ke Kangar sejauh 50 kilometer.

Mengenai kegiatan terakhirnya tahun ini, Azizan yang juga bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kubang Gajah berkata, beliau akan berenang mengelilingi Tasik Melati, sebuah kawasan rekreasi di Perlis pada Sabtu ini bermula 11 pagi dan berakhir 6 petang.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dijadualkan melepaskan renangan yang julung kalinya diadakan di tasik itu. - BERNAMA

Artikel Lain