suria

Pemuda MIC Cadang Unit Khas Polis Cegah Jenayah Di Sekolah

SHAH ALAM: Pemuda MIC Selangor hari ini mencadangkan supaya polis menubuhkan unit khas bagi mencegah kegiatan jenayah termasuk samseng di sekolah.

Ketuanya M.Shanker Raj Ayenger berkata walaupun pada masa ini polis sentiasa mengadakan pemantauan di sekolah, namun tiada pengkhususan dalam bidang tugas mereka.

"Diharap jika unit ini ditubuhkan, lebih banyak ceramah kesedaran dapat diadakan selain memberi bimbingan kepada murid-murid yang bermasalah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan dialog dengan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.

Shanker berkata, Pemuda MIC ingin bekerjasama dengan polis bagi mengenal pasti kawasan yang sering berlaku jenayah di sekitar Selangor terutamanya di kawasan sekolah, kelab hiburan, taman rekreasi, kafe siber dan pusat membeli-belah.

Sementara itu, Khalid berkata antara golongan yang perlu diberi perhatian khusus bagi mengurangkan jenayah di Selangor ialah pelajar yang terdedah kepada kegiatan samseng.

"Pihak polis boleh membuat program-program bimbingan dan kesedaran," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain