suria

MCA Tubuh Jawatankuasa Pengurusan Hal Ehwal Parti

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat Isnin mengumumkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Pengurusan Hal Ehwal parti itu bagi melancarkan jentera pentadbirannya.

Beliau berkata penubuhan jawatankuasa berkenaan, yang diketuai Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek telah diputuskan selepas mesyuarat Majlis Presiden parti itu, yang berlangsung lebih tiga jam di Wisma MCA di sini.

Selain Dr Chua, beliau berkata jawatankuasa itu turut dianggotai empat Naib Presiden MCA iaitu Datuk Seri Kong Cho Ha, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Tan Kok Hong.

"Setelah dikaji dengan teliti dan menyeluruh, maka sebuah jawatankuasa pengurusan hal ehwal parti ditubuhkan untuk menggerak dan memantapkan lagi jentera pentadbiran parti," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Dr Chua, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden (PC) itu.

Selain penubuhan jawatankuasa itu, Ong berkata mesyuarat PC juga memutuskan bahawa MCA turut akan memberikan lebih tumpuan terhadap pembangunan pendidikan pelajar Cina yang miskin.

"Kali ini tumpuan kami (MCA) beralih kepada pelajar Cina yang fakir miskin, yang belajar di sekolah-sekolah menengah persendirian. Kita putuskan satu mekanisme atau satu tabung ditubuhkan untuk mengenal pasti bilangan pelajar itu di seluruh negara untuk diberikan bantuan," katanya.

Dalam bidang pembangunan pendidikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) pula, Ong berkata MCA telah memperoleh peruntukan sebanyak RM95 juta daripada kerajaan Persekutuan sebelum ini, untuk 20 buah sekolah iaitu tujuh sekolah SJKC baru dan 13 SJKC yang akan dipindahkan ke tempat-tempat yang dikenal pasti.

"Jumlah peruntukan itu kenalah kita pantau supaya ianya dapat digunakan secara berkesan. MCA pusat melalui MCA di peringkat negeri dan bahagian akan memastikan supaya setiap projek pembinaan sekolah yang dimaksudkan, dapat mengguna pakai wang peruntukan berkenaan yang dijangka disalurkan kepada sama ada lembaga pengarah sekolah atau jawatankuasa pembinaan sekolah baru," katanya.

Mengenai perkembangan terbaru pemilihan parti, Ong meminta Timbalannya, Dr Chua yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Baru MCA untuk mengulas perkara itu.

Sementara itu Dr Chua berkata: "Kami telah berbincang tetapi saya tidak membentangkan sebarang laporan kerana tarikh akhir untuk menyerahkan surat peletakan jawatan adalah pada 25 Dis. Jadi pada saya, belum tiba waktunya untuk saya mengemukakan ia secara rasmi.

Saya bercadang untuk mengadakan mesyuarat selepas 25 Disember dan berdasarkan jumlah mereka yang meletakkan jawatan, barulah kami mengemukakan cadangan atau laporan kepada Jawatankuasa Pusat (CC)," katanya.

Mengenai bilangan terkini ahli CC yang telah meletak jawatan, Dr Chua berkata: "Saya difahamkan mereka yang ingin meletak jawatan telah serahkan borang kepada Setiasaha Agung (Datuk Wong Foon Meng) yang tidak dapat hadir kerana ada kerja dan urusan lain. Jadi saya tak dapat pastikan bilangan yang letak jawatan, saya hanya tahu daripada suratkhabar."

Pada Selasa lepas (15 Disember), Liow adalah antara 13 anggota CC parti itu, yang telah menyerahkan surat meletak jawatan bagi membolehkan pemilihan semula parti itu diadakan.

Surat peletakan jawatan masing-masing, yang tidak bertarih itu, diserahkan kepada Setiausaha Agung MCA.

Mengikut peraturan parti, Setiausaha Agung MCA akan menetapkan tarikh berkuatkuasanya peletakan jawatan itu apabila menerima surat peletakan jawatan daripada dua-pertiga anggota CC atau 21 orang daripada 31 ahli CC yang dipilih.

Sementara itu, mesyuarat PC hari ini hanya dihadiri 10 daripada 17 ahlinya.

Mereka ialah Ong, Dr Chua, Dr Ng, Bendahari Agung Tan Sri Tee Hock Seng, Datuk Loke Yuen Yow, Datuk Ti Lian Ker, Tan Cheng Liang, Gan Ping Sieu, Wong Hock Aun, dan Senator Heng Seai Kie. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain