suria

Najib: Hentikan Debat Pengerusi BN Pulau Pinang

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mahu parti komponen Barisan Nasional (BN) terus berdebat mengenai permintaan Umno Pulau Pinang baru-baru ini agar jawatan Pengerusi BN negeri itu diberikan kepada parti itu.

"Tidak ada lagi debat mengenai perkara ini," tegas Najib kepada soalan wartawan berhubung perkara itu yang memonopoli halaman dalam kebanyakan akhbar utama di negara ini hari ini.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat keenam Majlis Aeroangkasa Malaysia Malaysia di sini hari ini.

Sabtu lepas, Jawatankuasa Perhubungan Umno Pulau Pinang mahukan jawatan Pengerusi BN negeri itu yang diperuntukkan kepada Gerakan, diberikan kepada Umno yang mempunyai 11 kerusi Dewan Undangan Negeri dan dua Parlimen berbanding Gerakan.

Ini menyebabkan Gerakan membantah kerana berpendapat ia merupakan bidang kuasa Perdana Menteri sebagai Pengerusi BN untuk memutuskan perkara itu.

Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri merupakan Pengerusi BN negeri.

Semalam, semasa bercakap kepada pemberita pada satu majlis di Shah Alam, Najib berkata cadangan Umno Pulau Pinang itu hanya merupakan pandangan dan tidak lebih daripada itu.

"Sebarang keputusan yang akan diambil (berhubung perkara itu) akan dibuat atas semangat pemuafakatan BN," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain