suria

Kes Jenayah Di Sabah Menurun

KOTA KINABALU: Kes jenayah yang berlaku di Sabah menurun sebanyak sembilan peratus tahun ini dari 9,048 kes yang direkodkan tahun lepas, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Ab Razak Ab Ghani.

Tanpa memaklumkan jumlah kes yang direkodkan, beliau bagaimanapun berkata penurunan itu berikutan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keselamatan dan ketenteraman awam di kawasan mereka.

"Faktor terhadap penurunan ini adalah kesedaran masyarakat yang tidak mahu memberi peluang kepada penjenayah menggangu kawasan mereka.

"Kita juga mendapati masyarakat Sabah semakin sedar akan kepentingan untuk bekerjasama dengan anggota polis sekiranya berlaku sesuatu masalah atau keadaan mencurigakan agar polis dapat bertindak dengan cepat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Balai Polis Cemerlang Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Peringkat Negeri di sini hari ini.

Beliau juga berharap hubungan antara masyarakat dan polis dapat ditingkatkan melalui program kemasyarakatan, terutama program anjuran polis.

Pada majlis itu, Balai Polis Penampang dan Tanjung Aru dinobatkan sebagai balai polis terbaik oleh MCPF.

Menurut pengerusinya Datuk Henry Chin, anugerh itu diadakan dua tahun sekali bagi menghargai usaha polis menjaga kebersihan balai polis dan layanan cemerlang terhadap pelanggan. - BERNAMA

Artikel Lain