suria

Bapa Datuk Maznah Mazlan Meninggal Dunia Pagi Ini

KUALA LUMPUR: Bapa kepada Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan meninggal dunia pada pukul 9.50 pagi ini di Pusat Perubatan Gleneagles Ampang akibat kanser pankreas.

Allahyarham Mazlan Taib, 80, yang menghidap penyakit itu sejak dua tahun lepas akan dikebumikan di Taman Sedia, Tanah Rata Cameron Highlands selepas solat Asar, kata Maznah kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Maznah berkata beliau dimaklumkan mengenai kematian bapanya sebelum persidangan Dewan Negara bermula dan memandangkan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam ketika ini berada di Iran, beliau terpaksa hadir pada persidangan Dewan Negara hari ini bagi menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 bagi kementerian itu.

"Saya hadir sebab tahu jika bapa saya masih hidup dia memang nak saya sempurnakan tugas saya hari ini," katanya.

Beliau berkata Allahyarham bapanya adalah antara perintis pembukaan Cameron Highlands dan beliau memulakan kehidupannya di tempat peranginan itu pada tahun 1940-an semasa bekerja dengan Kem British.

Terdahulu Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Ir Wong Foon Meng menyampaikan ucapan takziah kepada Maznah sebelum sesi penggulungan bermula.

Beliau juga melahirkan penghargaan kepada Maznah kerana tetap meneruskan tugasnya untuk menjawab pertanyaan lisan dan menggulung perbahasan walaupun Dewan membenarkan untuk menteri lain mewakili beliau.

Maznah berkata antara saat paling berharga yang dirasai bapanya ialah ketika beliau (Maznah) mengangkat sumpah sebagai Senator dua tahun lepas.

"Saya tahu beliau mahu saya selesaikan tugas saya hari ini sebelum mengiringi jenazah beliau ke Cameron Highlands," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain