suria

Seorang Maut Kereta Bertembung Lori Sayur

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera ringan apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori membawa bakul sayur kosong di Jalan Ipoh berhadapan Taman Wahyu di sini awal pagi tadi.

Mangsa Mohd Sayuti Jamaludin, 23, dari Batu 6 1/4, Gombak, mati di tempat kejadian akibat cedera parah dalam kemalangan yang berlaku pada kira-kira pukul 4.30 pagi.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Mazda yang dipandu mangsa dari arah pusat bandar menghala ke bulatan Batu Caves hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar bahagian tepi kanan lori terbabit.

"Akibat pertembungan itu, kita percaya mangsa tersepit menyebabkan dia mati di tempat kejadian manakala rakannya, Mohd Rafiuddin Arif Noor Azman, 23, dari Taman Sri Gombak hanya cedera ringan.

"Bagaimanapun pemandu lori, K.Gopalakrishnan, 29, dari Skudai, Johor tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat manakala rakannya yang cedera ringan juga dihantar ke hospital sama untuk rawatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain