suria

Puak Bertelagah Dalam MCA Sepatutnya Bersatu: Lian Ker

KUALA LUMPUR: Puak-puak yang bertelagah dalam MCA sepatutnya bekerjasama menghapuskan perbezaan pendapat antara mereka secara senyap-senyap dan menerima pendekatan yang dicadangkan bagi mengadakan pemilihan semula jawatan sambil menjunjung tinggi keluhuran perlembagaan parti, kata Ahli Jawatankuasa Pusat (CC) MCA, Datuk Ti Lian Ker.

Bagaimanapun, beliau mendakwa perkara itu tidak berlaku apabila beberapa anggota CC sendiri "merampas" dan "mengganggu" fungsi jawatankuasa khas parti melalui tindakan mereka yang enggan meletakkan jawatan bagi membolehkan pemilihan baru diadakan.

Jawatankuasa khas itu ditubuhkan CC, badan pembuat dasar dalam MCA, bagi mencari penyelesaian untuk membolehkan parti berkenaan mengadakan semula pemilihan jawatan.

Dalam tulisan melalui blognya, Ti berkata, perbuatan anggota CC terbabit boleh dianggap menghalang pelaksanaan Pelan Perpaduan Lebih Menyeluruh (GUP) yang digubal bagi mengukuhkan kembali parti itu.

Kata beliau, sekiranya semua anggota CC benar-benar berdisiplin, mereka sepatutnya menungggu hingga jawatankuasa khas itu mengemukakan syornya dan sama-sama meletakkan jawatan bagi membolehkan pemilihan baru diadakan demi kebaikan parti itu.

Rabu lepas, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan 12 pemimpin lain menyerahkan surat peletakan jawatan tanpa tarikh sebagai anggota CC kepada Setiausaha Agung MCA, Datuk Wong Foon Ming agar pemilihan baru dapat diadakan bagi menyelesaikan krisis kepimpinan yang melanda parti itu.

Peletakan jawatan mereka hanya akan berkuatkuasa sekiranya mereka tergolong dalam jumlah dua pertiga atau 21 daripada 31 anggota CC yang meletakkan jawatan bagi membolehkan pemilihan baru diadakan.

Selain Liow, pemimpin yang turut menyerahkan surat peletakan jawatan termasuk Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Wee Jeck Seng, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Hou Kok Chung, anggota veteran CC, Datuk Wong Mook Leong dan Naib Presiden, Tan Kok Hong.

Beberapa anggota biasa CC yang menyerahkan surat peletakan jawatan ialah Lee Wei Kiat, Datuk Yu Chok Tow, Wong Nai Chee, Senator Datuk Yeow Chai Thiam, Datuk Hoh Khai Mun, Datuk Liew Yuen Keong, Datuk Edward Khoo Keok Hai dan Senator Datuk Alex Wong Siong Hwee.

Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang kawasan Pulau Manis, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz berkata, Barisan Nasional (BN) perlu mengggunakan strategi jangka panjang dan lebih berkesan dalam menangani krisis yang sedang melanda MCA.

Mohd Ariff, yang lebih dikenali sebagai sakmongkol AK47 dalam kalangan pelayar blog berkata, MCA perlu dilihat sebagai wakil yang boleh diharapkan, rasional dan stabil bagi masyarakat Cina.

"Pada peringkat paling asas, MCA perlu diberi peluang untuk melakukan apa yang dianggapnya perlu bagi menyelesaikan masalahnya," kata Mohd Ariff dalam blognya.

Beliau berkata, MCA sentiasa menganggap dirinya sebagai parti yang mewakili kaum Cina dan berharap imej itu dihargai serta diiktiraf oleh pihak lain (dalam BN).

Baru-baru ini, Umno, komponen utama dalam BN, mengadakan rundingan dengan para pemimpin MCA bagi membantu menyelesaikan krisis kepimpinan yang melanda parti yang menjadi rakan gabungannya itu.

Para pemerhati politik berkata, sikap prihatin Umno itu mudah difahami kerana ia ingin melihat MCA khususnya, dan BN amnya, memperkemaskan kembali kedudukan masing-masing dengan secepat mungkin bagi membolehkan mereka memberi tumpuan terhadap isu-isu yang menentukan hidup mati masing-masing apabila berdepan dengan rakyat, dan bukannya terus dilanda kemelut yang boleh mengakibatkan mereka tersungkur dalam arena politik.

Mereka berpendapat para pemimpin BN dan petugas parti perlu segera memberi penerangan yang sejelas-jelasnya kepada rakyat tentang usaha dan manfaat yang terkandung dalam Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) serta kemajuan yang dicapai setakat ini di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) oleh pelbagai jabatan dan agensi kerajaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain