suria

Prosedur, Sistem Kawalan ATM Diperketat: Zahid

KLANG: Sistem yang digunapakai dalam inventori di ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu sentiasa dipantau dan dikemaskan mengikut kehendak semasa bagi memastikan kehilangan enjin pesawat pemintas F-5E tidak berulang.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sistem yang terdapat di ATM telah dirombak sepenuhnya sejak kehilangan enjin pesawat itu disedari dan aspek pemantauan turut ditingkatkan terhadap prosedur, inventori serta kawalan setiap pergerakan aset.

"Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) khususnya perlu membuat semakan dan memperbaiki sistem pengawalan inventori aset dalam mengembalikan keyakinan orang awam terhadap sistem yang digunapakai selain bagi memastikan tidak berlaku lagi kebolosan," katanya kepada pemberita selepas melawat limbungan kapal NGV Tech di Kampung Sinjangkang, Teluk Panglima Garang di sini hari ini.

Beliau berkata, kehilangan enjin pesawat tersebut pada 2007 merupakan kes rumit dan sukar memandangkan ia melibatkan sindiket rangkaian antarabangsa yang menjadikan sejumlah anggota dan pegawai TUDM sebagai tali barut.

Katanya, kementerian itu sedang meneruskan siasatan berhubung kes itu, dan memandangkan ia masih dalam siasatan pihak berkuasa, beliau tidak dapat memberikan maklumat secara terperinci mengenainya kerana ia membabitkan aspek perundangan.

"Siasatan mendapati bahawa sistem penghantaran yang digunakan TUDM cukup baik tetapi ia terkeluar dari garis panduan apabila ada mereka yang tidak bertanggungjawab melakukan kerja jahat itu dengan cukup terancang dibantu pihak luar.

"Kita berharap tindakan perundangan dapat dipercepatkan. Bagaimanapun setakat ini, siasatan polis difahami sudah selesai dan sedang menunggu arahan Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Ketika ditanya, mungkinkah wujud penglibatan syarikat penyelenggara pesawat memandangkan mereka mempunyai hubungan secara langsung dengan syarikat pembekal di luar negara, beliau berkata tidak semestinya kerana ia adalah kerja warga tempatan dengan kerjasama orang luar.

Ahmad Zahid berkata, beberapa pegawai atasan hinggalah anggota bawahan telah diambil tindakan bagaimanapun beliau enggan mendedahkan bentuk tindakan yang telah diambil itu.

Beliau berkata, kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kes kehilangan enjin pesawat F-5E milik TUDM itu dan memberi jaminan akan bekerjasama dengan polis.

"Kita sudah ada senarai nama orang dalam yang terlibat. Mereka yang terbabit adalah pengkhianat negara dan wajar dikenakan undang-undang yang tegas," katanya.

Menurut beliau, komponen dan alat ganti generasi pertama pesawat tempur supersonik itu mendapat permintaan tinggi, terutama di kalangan negara yang masih menggunakannya.

"Enjin tersebut merupakan aset lama, di mana pengeluar enjin berkenaan tidak lagi mengeluarkan enjin tersebut sedangkan masih ada negara yang menggunakan pesawat itu dan ini menjadikan enjin tersebut masih diperlukan dalam pasaran inventori," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan lokasi sebenar enjin pesawat itu yang telah berjaya dijejaki dan menyerahkan kepada polis untuk pendedahan lanjut.

Tambahnya, meskipun kehilangan enjin itu disedari pada 2007 namun kes tersebut tidak semudahnya boleh didedahkan kepada umum memandangkan beberapa tindakan serta siasatan yang turut membabitkan polis dilakukan secara dalaman terlebih dulu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain