suria

Pakatan Rakyat Tubuh Jawatankuasa Mekanisme Pelaksanaan Dasar

SHAH ALAM: Pakatan Rakyat yang memperkenalkan dasar perjuangannya pada konvensyen sulungnya di sini semalam ini akan menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyediakan mekanisme pelaksanaan dasar-dasar yang telah dipersetujui oleh ketiga-tiga parti yang menyertainya iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan PAS.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mekanisme itu akan dirangka bagi melaksanakan dasar Pakatan Rakyat menerusi proses demokrasi seperti mengukuhkan demokrasi di peringkat kerajaan tempatan.

Salah satu dasar Pakatan Rakyat ialah mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan dan meningkatkan kecekapan serta keberkesanan sistem penyampaian dan menjamin ketelusan di semua peringkat secara demokratik.

Beliau juga menafikan ketiga-tiga parti itu tidak komited untuk menganjurkan pilihan raya tempatan jika mereka memerintah kerana perkataan 'pilihan raya tempatan itu' tidak dimasukkan ke dalam dasar Pakatan Rakyat tetapi digantikan dengan perkataan 'mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan'.

"Di antara tiga parti tidak timbul kenyataan kita menentang demokrasi, tidak timbul menentang proses pilihan raya. Yang timbul cara dan kaedah untuk melaksanakan cadangan ini dan sebelum kaedah ini diputuskan kita jangan terburu-buru mengumumkan proses pilihan raya itu," katanya dalam satu sidang media selepas berakhirnya konvensyen sehari itu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan wartawan bahawa sebelum ini ada parti dari Pakatan Rakyat yang berjanji mahu melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan dalam kempen pilihan raya mereka pada pilihan raya umum lepas.

Ditanya sama ada Dasar Pakatan Rakyat yang dilancarkan membayangkan mereka akan bertanding pada pilihan raya akan datang sebagai satu barisan yang bersatu, Pengerusi DAP Karpal Singh berkata mereka telah bersetuju dengan dasar itu dan ia akan menjadi panduan mereka.

Dalam dasar yang dibentangkan semalam, Pakatan Rakyat menolak politik perkauman yang sempit dan akan memperkenalkan Akta Hubungan Kaum, membenarkan had umur mengundi minima pada 18 tahun, mencadangkan skim pencen untuk pekerja swasta dan menubuhkan Dana Penamatan Kerja.

Pakatan Rakyat juga akan membangunkan ekonomi berprestasi tinggi yang mendukung cukai yang progresif dan menolak semua cukai yang mungkin membebankan rakyat seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain