suria

Laluan Baru LRT Terima 90% Sokongan; Buka Laluan Kepada Kerja-Kerja Pembinaan

Stesen LRT Putra Heights USJ yang bakal dibina di tapak ini akan menjadi hub kepada laluan tambahan LRT Kelana Jaya dan juga Seri Petaling - foto THE STAR oleh SAM THAM
Stesen LRT Putra Heights USJ yang bakal dibina di tapak ini akan menjadi hub kepada laluan tambahan LRT Kelana Jaya dan juga Seri Petaling - foto THE STAR oleh SAM THAM
Stesen LRT Putra Heights USJ yang bakal dibina di tapak ini akan menjadi hub kepada laluan tambahan LRT Kelana Jaya dan juga Seri Petaling - foto THE STAR oleh SAM THAM

PETALING JAYA: Cadangan laluan tambahan rel Sistem Aliran Ringan (LRT) bagi Lembah Klang dijangka memasuki fasa kedua iaitu proses pembinaan pada tahun hadapan tanpa sebarang masalah besar memandangkan sebahagian besar maklum balas yang diterima daripada orang-ramai memberikan isyarat ‘lampu hijau’ kepada Syarikat Prasarana Negara Berhad untuk meneruskan projek tersebut.

Prasarana adalah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab membina dan mengendalikan kemudahan pengangkutan itu.

Adalah difahamkan, lebih 90 peratus maklum balas yang diterima daripada orang-ramai memberikan kata ‘ya’ kepada cadangan berkenaan.

Cadangan laluan tambahan itu mula dipamerkan kepada orang-ramai tiga bulan yang lalu di lima tempat iaitu Jabatan Keretapi Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Dan tarikh akhir untuk orang-ramai mengemukakan sebarang bantahan, syor ataupun maklum balas berhubung cadangan pembinaan laluan tambahan rel LRT sejauh 34 kilometer itu telah pun ditutup pada 14 Disember baru-baru ini.

Kesemua maklumbalas yang diterima daripada orang-ramai berhubung cadangan ini sedang dinilai oleh Jabatan Keretapi Malaysia. Keputusan mengenainya akan diumumkan kepada orang-ramai selepas ia dibentang kepada kabinet untuk makluman.

Sementara itu, Pengurus Besar (Komunikasi) Prasarana, Ebi Azly Abdullah ketika dihubungi oleh The Star berkata, pihaknya dan juga Jabatan Keretapi Malaysia hanya akan menerima dan melayani maklumbalas orang-ramai yang dikemukakan menerusi borang rasmi yang disediakan sahaja.

Beliau menambah, sebarang maklum balas yang diterima menerusi saluran lain tidak akan dianggap sebagai maklum balas rasmi.

Ebi berkata, walaupun terdapat beberapa bantahan daripada persatuan penduduk seperti dari Taman Bunga Negara, Subang Alam dan Seksyen 2 dan 3, Putra Heights tetapi mereka bukannya membantah dibina laluan LRT tetapi cuma meminta agar laluan pada beberapa tempat dan juga stesen baru dipertimbangkan semula khususnya di stesen 11 dan 12 bagi laluan baru Kelana Jaya - Putra Heights.

“Pada keseluruhannya orang-ramai bersetuju dengan cadangan kita untuk membina laluan tambahan baru ini,” katanya. Sementara itu Ebi berkata, laluan tambahan ini yang melibatkan dua hala iaitu Kelana Jaya-Putra Heights dan laluan Seri Petaling-Putra Heights meliputi 34 kilometer panjang adalah dianggarkan bernilai antara RM6 hingga 7 bilion.

Laluan baru Kelana Jaya-Putra Heights akan bermula dari Lembah Subang/Kelana Jaya melalui Subang, Subang Jaya, USJ, Alam Megah dan akan berakhir di Putra Heights. Laluan ini akan mempunyai 13 stesen baru.

Sementara bagi laluan Seri Petaling-Putra Heights pula, ia akan merentasi Puchong, Kinrara dan akan berakhir di Putra Heights. Laluan ini juga akan mempunyai 13 stesen baru.

Kesemua laluan baru ini adalah tambahan kepada 56 kilometer laluan sedia ada yang dibina pada kos RM8 billion. Laluan sedia ada bermula dari Ampang sejauh 27 kilometer menuju ke Seri Petaling manakala laluan kedua iaitu Kelana Jaya menuju ke stesen Putra di Gombak sejauh 29 kilometer. Laluan Ampang mempunyai 25 stesen dan Kelana Jaya 23 stesen.

Menurut Ebi, pembinaan untuk laluan baru tambahan ini akan bermula pada awal 2010 dan dijangka siap menjelang penghujung 2012 iaitu mengambil masa 36 bulan kesemuanya.

“Bagaimanapun sasaran tempoh siap ini bergantung kepada perubahan yang perlu dilakukan kepada beberapa laluan berasaskan maklum balas yang diterima daripada orang-ramai dan juga syor-syor yang dikemukakan oleh pihak berkuasa tempatan,” kata Ebi.

Beliau juga berkata, soal maklum balas dan bantahan daripada orang-ramai adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan untuk satu projek besar seperti ini tetapi apa yang penting ialah, kesemuanya akan diteliti dan dinilai oleh pihak Jabatan Keretapi Malaysia dan Prasarana sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang dan juga peraturan.

Prasarana, adalah syarikat induk kepada tiga syarikat pengangkutan utama negara iaitu RapidKL, RapidPenang dan KL Star Rail.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain