suria

GiatMara Terima Peruntukan RM54 Juta Bagi Program Basmi Kemiskinan

TAWAU: GiatMara menerima peruntukan RM54 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua bagi membantu golongan miskin tegar keluar dari kepompong kemiskinan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Meriyam Abd Majid berkata, peruntukan tersebut adalah untuk 11 buah negeri kecuali Sabah, Selangor dan Wilayah Persekutuan yang sudah menerima peruntukan berkenaan dalam pakej rangsangan ekonomi sebelumnya.

"Peruntukan RM54 juta itu disalurkan melalui Program Latihan Menjana Pendapatan (PLMP) dan Program Giat Dekat Rakyat (PGDR)," katanya selepas menghadiri majlis penutupan kursus PLMP anjuran agensi itu di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas.

Menurut Meriyam, melalui PLMP, pelatih diberi kemahiran membuat pelbagai jenis produk mengikut minat peserta yang dikendalikan oleh mentor terlatih, memiliki teknologi dan berpengalaman dalam perniagaan produk tertentu.

Katanya, selepas menamatkan kursus, mentor bertanggungjawab memantau kemajuan pelatih dengan membantu mereka memasarkan produk yang dihasilkan kepada pelanggan.

"Misalnya, jika mentor itu seorang pengusaha kek dan mendapat tempahan kek yang banyak, mentor itu akan meminta pelatih membekalkan kek kepadanya untuk dibekalkan kepada pelanggan," katanya.

Melalui cara itu, katanya, pelatih, selain mendapat pendapatan, sedikit demi sedikit akan meningkatkan kemahiran, keyakinan dan pengalaman mereka sebelum berupaya membuka perniagaan sendiri.

PGDR pula katanya, adalah untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar memperbaiki atau menyalurkan kemudahan yang diperlukan golongan tersebut sehingga boleh berdikari.

Sebagai contoh katanya, jika golongan sasar ialah seorang nelayan dan botnya rosak, GiatMara akan membantu memperbaiki bot berkenaan menggunakan kemahiran pelatih agensi itu yang menuntut di pusat GiatMara berdekatan.

Menurutnya, setakat ini seramai 1,800 orang sudah menyertai kursus tersebut dan berdasarkan kajian Unit Penyelarasan Pelaksana (ICU) Jabatan Perdana Menteri, hasilnya amat memberansangkan.

Di Sabah sahaja, katanya sebanyak 75 kursus dan latihan telah dijalankan melibatkan seramai 1,200 perserta dengan kos berjumlah RM4 juta sejak 2007. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain