suria

Dr Mohd Ali Dilantik Semula Yang Dipertua Angkasa

KUALA LUMPUR: Prof Datuk Dr Mohd Ali Baharum dilantik semula sebagai Yang Dipertua Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad(ANGKASA) apabila menang tipis 47 undi pada Persidangan Kebangsaan Tahunannya yang ke-26, semalam.

Keputusan pemilihan jawatan itu diumumkan oleh Pengerusinya Datuk Seri Abdul Rashid Abdul Rahman petang tadi pada persidangan kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Menurut kenyataan Setiausaha Eksekutif ANGKASA, Mohammad Zamri Yaacob, Dr Mohd Ali memperoleh 1,216 undi mengalahkan Mustapa Kamal Maulut yang memperoleh 1,169 undi, Datuk Muhammad Feisol Hassan (90 undi) dan Omar Osman (7).

Dr Mohd Ali sebelum ini dilantik bagi menggantikan Datuk Abdul Rahim Abu Bakar yang meninggal dunia 24 September lalu.

Jawatan Naib Yang Dipertua disandang oleh Jamal Abdullah dengan memperoleh 824 undi mengalahkan Ismail Nordin (781 undi), Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hassan (773), Datuk Seri Isahak Yeop Mohamad Shar (53), Abd Latip Ismail (44) dan Ismail Baba (17).

Abdul Rashid dilantik sebagai Pengerusi Persidangan ANGKASA, satu jawatan baru yang diperkenalkan pada persidangan kali ini dengan memperoleh 1,478 undi.

Seramai 2,649 perwakilan daripada 1,667 koperasi ahli ANGKASA dari seluruh negara menghadiri persidangan kali ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain