suria

Tuntut 'Undi Ketiga' Bagi Pilihan Raya Kerajaan Tempatan - Hannah Yeoh

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Hannah Yeoh (DAP) menuntut pilihan raya kerajaan tempatan diadakan bagi mendukung prinsip akauntabiliti sekali gus menamatkan kronisme.

Menurutnya, ia boleh dilakukan sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memulangkan 'undi ketiga' kepada rakyat.

"Sementara menunggu kelulusan SPR, kerajaan boleh melakukan 'opinion pool' (tinjauan pendapat). Ia boleh dijadikan garis panduan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan di Konvensyen Pakatan Rakyat pertama yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), hari ini.

Hannah mendakwa, rakyat tidak berpeluang untuk bersuara mengenai penggubalan dan perlaksanaan undang-undang kerajaan buat masa ini.

Sementara itu, sekurang-kurangnya tiga perwakilan menyentuh tentang potensi pengundi baru dalam membantu Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum akan datang.

Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke Siew Fook menyarankan umur kelayakan pengundi diubah daripada 21 tahun ke 18 tahun secara automatik.

"Umur 18 tahun paling layak (untuk mengundi) kerana pada umur tersebut, ada yang sudah berkahwin," katanya yang pernah dinafikan untuk mengundi pada awal 1999.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin yang turut menyokong pendapat Anthony berkata, terdapat 4.5 juta pemuda yang layak mengundi tetapi belum berdaftar.

Katanya, sudah sampai masanya golongan muda tersebut diberi peluang untuk mentadbir kerajaan.

"Sekiranya kita mendapat undian mereka, Putrajaya akan menjadi milik kita," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Kelantan, Wan Ubaidah Omar mengesyorkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dilaksanakan terhadap semua penjawat awam termasuk barisan kepimpinan parti untuk mencapai keadilan terhadap kedua-dua jantina.

Wan Ubaidah turut menyokong 30 peratus perwakilan wanita dalam kalangan penjawat awam di semua barisan kepimpinan.

"Ini bagi menunjukkan wanita yang isi kuota itu adalah betul-betul berkelayakan. Justeru, PKR harus fikir agenda bertindak dan melaksanakannya segera," katanya.

Beliau berkata, rumah perlindungan kanak-kanak, pusat jagaan kanak-kanak dan waktu kerja anjal harus dipraktikkan bagi menyokong golongan wanita bekerja.

Artikel Lain