suria

PR Ikrar Pertahan Islam Sebagai Agama Rasmi

SHAH ALAM: Kedudukan agama Islam akan tetap dipertahankan sebagai agama rasmi Persekutuan seperti yang terkandung dalam empat dasar Pakatan Rakyat (PR).

Bagaimanapun, menyedari Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, hak-hak agama lain akan tetap dijamin bagi memastikan keharmonian kaum dikekalkan.

"Agama dan anutan kepercayaan rakyat Malaysia seharusnya menjadi asas kesepakatan berlandaskan nilai murni yang bersifat sejagat.

"Rakyat Malaysia kini hampir tergelincir ka dalam kawah yang mendidih didorong angkara yang menyebabkan perpecahan dan ketegangan kerana berlainan agama," menurut buku laporan dasar Pakatan Rakyat yang diedarkan sempena Konvensyen Pakatan Rakyat yang pertama di sini hari ini.

Konvensyen Pakatan Rakyat itu menyaksikan kehadiran lebih 1,500 orang perwakilan dengan setiap komponennya iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP diwakili oleh 500 perwakilan.

Isu agama terkandung sebagai perkara ketiga Dasar Pakatan Rakyat di bawah prinsip keadilan sosial dan pembangunan sosial.

Malah, Pakatan Rakyat yang terdiri daripada tiga komponen parti iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP turut bersetuju untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja bagi mengkaji isu-isu berkaitan agama dengan mendalam.

"Pakatan Rakyat berikrar untuk menubuhkan mekanisme yang menyeluruh untuk memberi penyelesaian yang adil dalam kes-kes yang melibatkan pertindihan sistem perundangan sivil dan syariah," katanya.

Selain itu, tiga lagi dasar yang dipersetujui oleh gabungan berkenaan ialah:

Demokrasi Telus dan Tulen

a. Negara Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang.

b. Pemisahan Kuasa.

c. Sistem Pilihan Raya Yang Bersih, Bebas dan Adil.

Memacu Ekonomi Berprestij Tinggi, Mapan dan Adil

a. Ekonomi Kemahiran Tinggi.

b. Ekonomi Demokratik dan Telus.

c. Desentralisasi dan Pengupayaan Pengurusan Ekonomi Negeri.

d. Dasar Afirmatif Berdasarkan Keperluan.

e. Tenaga Kerja.

f. Jaringan Perlindungan Sosial.

g. Perumahan.

h. Prasarana dan Kemudahan Awam.

i. Alam Sekitar.

Hubungan Persekutuan-Negeri dan Dasar Luar Negara

a. Sistem Persekutuan.

b. Sabah dan Sarawak.

c. Dasar Luar Negara.

Artikel Lain