suria

Polis Tahan Dua Pemimpin AMK Selangor

SHAH ALAM: Polis menahan dua pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor kerana mengedar risalah yang dipercayai mempunyai unsur hasutan di perkarangan masjid negeri di sini semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata Ketua AMK negeri, Khairul Anwar Ahmad Zainuddin dan Timbalan Ketua AMK Kelana Jaya, Azizi Ahamad ditahan pada kira-kira pukul 2.10 petang selepas selesai solat Jumaat.

Beliau berkata kedua-dua mereka yang ditahan untuk siasatan lanjut di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini disiasat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

"Kami merasa kesal kerana mereka ini tidak menghormati institusi masjid dengan melakukan perkara itu di kawasan yang merupakan tempat untuk beribadah selain mencemar sambutan Maal Hijrah," katanya kepada pemberita di sini petang semalam.

Menurutnya jika siasatan terhadap kedua-dua mereka tidak selesai hari ini, pihaknya akan memohon perintah tahanan reman di mahkamah esok bagi membolehkan mereka terus ditahan bagi membantu siasatan.

Sementara itu Ketua AMK Malaysia Samsul Iskandar Md Akin ketika ditemui pemberita berkata kedua-dua mereka sedang diambil keterangan oleh pihak polis dan mereka masih ditahan di sini. BERNAMA

Artikel Lain