suria

Lelaki Terselamat Dari Cubaan Bunuh

BUTTERWORTH: Seorang lelaki terselamat daripada cubaan bunuh selepas ditembak beberapa kali di hadapan rumahnya di Lorong Tampoi 5, Taman Tampoi di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 10 pagi, mangsa seorang ahli perniagaan, berusia dalam lingkungan 30-an, mengalami cedera ringan akibat satu tembakan yang mengenai paha kanannya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Dr Mohamed Shah Hussin Shah berkata, insiden berlaku apabila satu pasangan pergi ke rumah mangsa dengan menaiki kereta sebelum berlaku pertengkaran di antara mereka.

Menurutnya, suspek lelaki telah mengeluarkan sepucuk pistol automatik dan melepaskan empat das tembakan dengan satu peluru terkena paha mangsa.

"Kedua-dua suspek yang berusia dalam lingkungan 40-an kemudian terus melarikan diri menaiki kenderaan mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Polis percaya insiden itu berpunca daripada persaingan dalam perniagaan tetapi tidak menolak kemungkinan pembabitan Ah Long dalam kes itu kerana kedua-dua suspek turut membawa cat hijau ke rumah mangsa.

Mohamed Shah berkata polis turut menemui tiga kelongsong peluru di tempat kejadian.

"Kes itu diklasifikasikan sebagai cubaan membunuh dan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu agar menghubungi polis. - BERNAMA

Artikel Lain