suria

Kerajaan Punyai Kesunguhan Politik Laksana NKRA

PETALING JAYA: Kerajaan mempunyai kesungguhan politik untuk memastikan setiap pelan penyampaian yang ditetapkan di bawah keenam-enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dilaksanakan dengan jayanya dalam usaha menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata pada hakikatnya kerajaan terbuka kepada semua maklum balas yang diterima dan bersedia untuk merealisasikan kesemua pelan tersebut.

"Kalau tiada kesungguhan politik, kami tidak akan tayangkan NKRA ini. Kalau tidak, mesti kami sembunyikannya," katanya ketika ditanya pemberita mengenai keupayaan kerajaan melaksanakan NKRA.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Hari Terbuka Program Transformasi Kerajaan (GTP) di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid di sini semalam.

Koh yang merupakan Pengerusi Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) berkata, sesetengah daripada NKRA seperti mengurangkan kadar jenayah, sudah pun melaksanakan beberapa inisiatif termasuk meningkatkan peranan Ikatan Relawan Rakyat (RELA).

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Datuk Seri Idris Jala selaku Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu berkata pengumuman mengenai Pelan Hala Tuju 1Malaysia bulan depan, menunjukkan bukti kukuh kesungguhan politik kerajaan dalam membuat transformasi.

Idris berkata pihaknya memperolehi lebih 1,000 komen bertulis mengenai inisiatif kerajaan itu, dan 70 peratus pengunjung bersetuju dengan cadangan dalam keenam-enam NKRA.

Menurutnya walaupun masih ada yang sangsi dengan pelaksanaan pelan-pelan tersebut namun kerajaan komited untuk melaksanakannya.

"Sesetengah pihak membuat tanggapan kakitangan awam itu 'lembap', tetapi kini mereka melihat sesuatu yang berbeza dan menteri-menteri kabinet pula dilihat komited sepenuhnya bagi melaksanakan NKRA," katanya.

Terdahulu Penasihat DAP Lim Kit Siang yang menghadiri hari terbuka hari ini walaupun memuji pelaksanaan NKRA, mempersoalkan sama ada kerajaan mempunyai 'kesungguhan politik' untuk menjayakan pelan-pelan tersebut.

"Mereka sekurang-kurangnya membuat beberapa kemajuan dan masalah rasuah sedang ditangani, tetapi adakah kesungguhan politik akan berjaya mengatasi masalah-masalah seperti jenayah, kemiskinan, mutu pendidikan yang semakin merosot, dan berusaha untuk mewujudkan kualiti hidup yang lebih tinggi," katanya.

"Walaupun apa yang disampaikan hari ini adalah sesuatu yang harus dipuji, namun adakah prinsip ini turut diserap dalam senario politik dan semua peringkat kabinet?" tambahnya.

Memetik toleransi sifar untuk rasuah sebagai satu daripada sasaran transformasi, Lim berkata menteri-menteri kabinet dilihat tidak banyak bercakap mengenainya.

Beliau berkata menteri-menteri mestilah tampil ke hadapan dan seluruh anggota kabinet mestilah komited untuk transformasikan kerajaan.

"Melainkan jika program Indeks Prestasi Utama (KPI) dibayangi oleh dasar dan kenyataan menteri-menteri dalam aktiviti harian mereka, rakyat akan hilang keyakinan," katanya.

Lim berkata apabila kerajaan mengisytiharkan pelan transformasi, ia mesti disusuli dengan tindakan segera. BERNAMA

Artikel Lain