suria

JKM Sedia Hadapi Kemungkinan Banjir Di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Terengganu telah membuat persiapan bagi menghadapi kemungkinan banjir di negeri ini berikutan keadaan cuaca buruk sejak beberapa hari lepas.

Pengarah JKM negeri, Zulhami Omar berkata, segala keperluan untuk mangsa banjir seperti makanan, selimut, pakaian dan tikar sudah pun dihantar ke pangkalan hadapan sejak beberapa hari lepas.

"Kita buat persiapan sama seperti sebelum ini yang menyaksikan banjir musim tengkujuh melanda Terengganu sebanyak tiga kali bermula awal November lalu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jabatan Meteorologi meramalkan hujan lebat peringkat kuning di beberapa daerah di Terengganu bermula semalam akan berterusan sehingga akhir bulan ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan jabatan berkenaan semalam, keadaan itu berkemungkinan menyebabkan berlaku banjir terutama di kawasan rendah dan tebing sungai.

Zulhami berkata, tahun ini, JKM telah membelanjakan kira-kira RM1.2 juta untuk membeli makanan dan peralatan untuk mangsa-mangsa banjir di Terengganu.

Beliau berkata, banjir tahun ini agak buruk kerana bencana alam itu melibatkan semua daerah dan melibatkan pemindahan lebih 10,000 penduduk.

"Kerajaan juga telah mengagihkan bantuan ihsan sebanyak RM500 untuk setiap keluarga mangsa banjir tersebut bagi meringankan beban mereka.

"Untuk pendahuluan, kerajaan beri sebanyak RM300 dan bakinya akan dibayar kemudian," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain