suria

Enjin Disedari Hilang Bila Tidak Sampai Ke Destinasi: Zahid

BALIK PULAU: Enjin pesawat pemintas F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) disedari hilang pada 2007 apabila enjin yang hendak diperbaiki itu tidak sampai ke destinasi yang dihantar.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kehilangan enjin itu disedari pada tahun 2007 dan beberapa tindakan serta siasatan dilakukan secara dalaman terlebih dahulu yang turut membabitkan polis.

"Siasatan mendapati bahawa, sistem penghantaran yang digunakan TUDM cukup baik, tetapi mungkin ia dilakukan oleh kumpulan bawahan cukup terancang dengan (bantuan) pihak luar," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran kompeni askar wataniah Pulau Pinang dan Kedah Selatan di sini, hari ini.

Menurutnya, Kementerian Pertahanan sedang meneruskan siasatan berhubung kes itu dan memandangkan ia masih dalam siasatan pihak berkuasa, TUDM tidak dapat memberikan maklumat secara terperinci mengenainya kerana ia melibatkan aspek perundangan.

Beberapa akhbar tempatan hari ini melaporkan polis menahan empat orang termasuk pegawai TUDM berhubung kehilangan enjin pesawat pemintas F-5E bernilai kira-kira RM50 juta itu.

Zahid berkata, sistem yang terdapat pada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dirombak sepenuhnya sejak kehilangan enjin pesawat itu disedari, dan aspek pemantauan turut ditingkatkan terhadap prosedur, inventori serta kawalan terhadap setiap pergerakan aset.

"Saya juga ingin pastikan bahawa sistem yang ada dalam inventori di ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM dipantau dan dikemaskan mengikut kehendak semasa," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain