suria

Setiap Sekolah Rendah Perlu Ada Pendidikan Pra Sekolah - NUTP

PETALING JAYA: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan kepada kerajaan supaya setiap sekolah rendah perlu mempunyai pendidikan pra sekolah dalam usaha menjadikan sistem pendidikan negara setanding dengan pendidikan di negara maju.

Setiausaha agungnya, Lok Yim Pheng berkata menerusi pendidikan pra sekolah di sekolah-sekolah berkenaan, akan memudahkan kerajaan memantau dan menilai pencapaian murid-murid terbabit sebelum mereka memasuki alam persekolahan.

"Kami berpendapat, Kementerian Pelajaran wajib memasukkan pendidikan pra sekolah dalam pakej pendidikan negara terutama di kawasan pedalaman supaya ada kesinambungan dalam pelajaran mereka.

"Di negara-negara maju misalnya, pendidikan pra sekolah diberikan lebih tumpuan kerana daripada situ, kita boleh tahu tahap pelajar-pelajar terbabit supaya kita boleh membuat perancangan terhadap perkembangan pelajar berkenaan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri pembentangan hasil makmal Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi Meluaskan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti dan Berkemampuan pada Hari Terbuka Program Transformasi Kerajaan(GTP) di Pusat Konvensyen Sunway di sini hari ini.

Dalam pembentangan oleh Ketua Makmal NKRA bagi bidang berkenaan Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim, Lok berkata kerajaan mensasarkan kadar penyertaan kanak-kanak dalam pra sekolah meningkat kepada 87 peratus menjelang 2012 berbanding 67 peratus sekarang.

Beliau berkata pada masa ini, tidak semua sekolah rendah mempunyai pendidikan pra sekolah sedangkan tahap pendidikan itu penting kerana menerusi pendidikan yang sempurna sejak di peringkat awal, akan membolehkan kerajaan mencapai matlamat dalam NKRA.

"Langkah ini juga supaya ada penyeragaman dalam pendidikan pra sekolah di negara ini. Malah ia juga dapat mengurangkan perbezaan kepada mereka yang belajar di pra sekolah dan sebaliknya apabila memasuki Tahun Satu," katanya.

Sementara itu, beliau menyambut baik langkah kerajaan mengadakan NKRA itu dalam usaha meningkatkan lagi sistem pendidikan negara.

Namun begitu, beliau berkata pelaksanaan terhadap pelan-pelan yang dicadangkan itu perlu berterusan dan bukan untuk tempoh tertentu sahaja. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain