suria

Pengunjung Pantai Irama Gempar Dengan Penemuan Mayat Reput

BACHOK: Pengunjung Pantai Irama dekat sini pagi ini gempar selepas satu mayat reput yang lengkap dengan pakaian ditemui terdampar di persisiran pantai.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Supritendan Yahya Salleh berkata, mayat lelaki yang dipercayai berumur sekitar 40-an itu ditemui pada kira-kira pukul 7.30 pagi dengan bahagian kepalanya hampir tinggal tengkorak sahaja.

Beliau berkata, mayat itu ditemui terdampar di persisiran pantai tidak jauh dari kawasan tapak ekspo di tepi pantai oleh beberapa penduduk kampung.

"Ketika ditemui mayat itu berpakaian t-shirt berlengan panjang berwarna coklat bersama seluar trek berwarna hitam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, polis tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat itu, yang kini berada di Hospital Raja Perempuan Zainab Dua (HRPZII) untuk dibedah siasat, dan polis percaya lelaki itu meninggal dunia lebih daripada seminggu.

Yahya berkata, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut, dan sedang menyiasat punca kematian.

Beliau seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok dengan menelefon 09-7788222 bagi membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain