suria

Malaysia Dan Iran Tingkatkan Kerjasama Sumber Manusia

PUTRAJAYA: Malaysia dan Iran akan menandatangani Memorandum Persefahaman mengenai kerjasama dalam meningkatkan kemahiran teknikal dan sumber manusia di Tehran minggu depan.

Malaysia akan diwakili oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam yang akan membuat lawatan rasmi ke Iran selama empat hari bermula esok, menurut kenyataan Kementerian Sumber Manusia di sini hari ini.

Lawatan itu bagi memenuhi jemputan rasmi daripada Menteri Buruh dan Hal-Ehwal Sosial Iran Abdolreza Sheikholeslami.

"Kedua-dua buah negara berpendapat bahawa kerjasama yang terjalin ini akan mampu membina perkongsian pintar melalui pendekatan amalan baik dalam menyokong institusi pembinaan sahsiah melalui pertukaran pengalaman dan kepakaran" tambah kenyataan itu lagi.

Kerjasama dua hala itu juga sebagai pelengkap kepada usaha kedua-dua kerajaan meneroka pasaran baru termasuk kerjasama dalam bidang perburuhan, latihan teknikal dan vokasional.

Dalam lawatan itu, Dr Subramaniam akan bertukar-tukar pengalaman dengan Abdolreza mengenai polisi dan strategi penggajian kedua-dua negara, termasuk mempelajari sistem keselamatan sosial dan program rehabilitasi kepada pekerja yang hilang upaya yang diamalkan oleh Iran.

"Kerjasama itu dijangka dapat memanfaatkan Malaysia daripada aspek teknologi dalam industri tenaga, perubatan, pembangunan sumber manusia dan lain-lain.

"Dalam pada itu, inisiatif ini juga akan memberi mej yang baik kepada kedua-dua buah negara selaku anggota Pertubuhan Persidangan Islam melalui kerjasama erat dalam pelbagai bidang," kata kenyataan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain