suria

SPRM Dibenar Rayu Pembebasan Mirza

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan semula rayuannya terhadap pelepasan dan pembebasan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab daripada tuduhan rasuah.

Pesuruhjaya Kehakiman, Zainal Azman Abdul Aziz turut membenarkan permohonan suruhanjaya itu untuk memfailkan petisyen rayuan di luar had masa.

Dalam penghakimannya Zainal Azman berkata, permohonan tersebut adalah berasas dan kelewatan yang berlaku selama dua hari bukanlah disengajakan.

Beliau mengarahkan SPRM memfailkan petisyen rayuan dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.

"Pemohon (pendakwaan) menyatakan bahawa pada 21 Ogos lalu, pemohon telah menerima salinan alasan penghakiman dan nota keterangan daripada Mahkamah Sesyen di sini dan tarikh untuk memfailkan petisyen rayuan adalah pada 4 September lalu.

"Pemohon telah memfailkan petisyen rayuan pada 4 September 2009 dan pada 15 September 2009. Pemohon telah menerima surat daripada mahkamah menyatakan bahawa petisyen rayuan telah difailkan di luar masa kerana salinan alasan penghakiman dan nota keterangan telah dimasukkan pada 19 Ogos 2009.

"Pemohon tiada pengesahan akan hal ini kerana cop penerimaan di bahagian pendakwaaan bertarikh 21 Ogos 2009. Hal ini hanya akan dikemukakan pada 15 Sept 2009," katanya.

Pada 18 September lepas pihak pendakwaaan telah memfailkan notis usul supaya mahkamah membenarkan pihaknya merayu keputusan Mahkamah Sesyen dengan memfailkan notis usul bagi menghidupkan semula rayuan yang telah dicabar oleh mahkamah dan memohon kebenaran untuk memfailkan petisyen rayuan di luar had masa mengikut Seksyen 310 Kanun Acara Jenayah. Notis rayuan sepatutnya difailkan pada 2 Sept lalu tetapi pihak pendakwaan melebihi had masa itu selama dua hari.

SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Fariza Hamzah manakala Mirza diwakili Peguam Saseedharan Menon dan Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.

Pada 24 Julai lepas, Mirza, 51, dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada tuduhan bersetuju menerima rawatan pergigian bernilai RM13,860, yang dijelaskan bayarannya oleh Pengarah Syarikat Perunding Pakar Media Zulhisyam Ayob, walaupun mengetahui bahawa syarikat itu mempunyai hubungan dengan fungsi rasmi beliau sebagai Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan ketika itu.

Mirza dituduh melakukan kesalahan itu di klinik pergigian Clinical Practise Prosthodontics Sdn Bhd, di Taman Tun Dr Ismail antara 17 Jan dan 26 Julai 2005. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain