suria

Remaja Maut Selepas Ragut Wanita

KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut manakala rakannya yang sebaya cedera parah apabila motosikal yang mereka naiki merempuh sebuah kereta di Gombak petang semalam ketika cuba melarikan diri setelah meragut telefon bimbit seorang wanita.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, kedua-dua remaja berkenaan baru sahaja meragut telefon bimbit wanita berkenaan yang turun dari sebuah bas berhampiran persimpangan Taman Sri Gombak dan Taman Greenwood.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, perbuatan mereka disedari oleh anggota polis dalam sebuah kereta peronda yang kemudian mengejar kedua-dua remaja itu.

"Ketika sampai di persimpangan itu motosikal yang mereka naiki gagal dikawal lalu merempuh sebuah kereta yang terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas," katanya.

Beliau berkata, kemalangan itu mengakibatkan kedua-dua suspek cedera parah, namun salah seorang daripada mereka mati ketika dalam perjalanan ke hospital," katanya.

Abdul Rahim berkata, pihak polis menemui empat telefon bimbit termasuk milik wanita berkenaan apabila beg galas suspek yang diletakkan di dalam raga motosikal itu diperiksa.

Katanya, mayat suspek dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat manakala suspek yang cedera parah dirawat di hospital yang sama dengan kawalan ketat oleh pihak polis dan menambah bahawa kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan.

Beliau berkata, pihak polis difahamkan bahawa sebelum kejadian, kedua-dua suspek cuba meragut rantai leher seorang remaja perempuan di Batu 5, Jalan Gombak tetapi gagal kerana mangsa sempat memegang rantai tersebut sehingga mangsa terjatuh dan cedera di tangan dan kaki.

Abdul Rahim berkata, rekod polis menunjukkan bahawa kedua-dua suspek itu yang tidak bersekolah dan juga penganggur turut terbabit dalam empat kes ragut sebelum ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain