suria

Rasuah Dalam Industri Pembinaan Serius: SPRM

KOTA BHARU: Gejala rasuah dalam industri pembinaan di negara ini berada pada tahap yang serius, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohamed.

Beliau yang bakal menerajui SPRM pada 1 Januari ini berkata, ini terbukti dengan wujudnya masalah yang melibatkan projek-projek besar dan bernilai tinggi.

Menurutnya, amalan rasuah juga akan mengakibatkan jumlah kos kontrak meningkat dan kemerosotan kualiti pembinaan kerana kontraktor terlibat dalam rasuah tidak akan mematuhi piawaian.

"Keadaan ini membahayakan nyawa dan harta benda serta menjatuhkan imej negara. Secara langsung perkara ini akan merugikan rakyat dan membebankan negara secara keseluruhannya," katanya dalam ucapan pada majlis penutup Seminar Pencegahan Rasuah Kontraktor-kontraktor Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pesuruhjaya SPRM Kelantan Mohd Jaafar Hussin.

Abu Kassim berkata, berdasarkan kajian, antara satu dan dua peratus daripada pulangan sesebuah syarikat pembinaan telah diperuntukkan untuk tujuan rasuah dan ia jumlah yang besar jika dibandingkan dengan pulangan yang diperoleh daripada projek berskala besar.

Beliau berkata, pada masa ini negara memasuki era baru di bawah pimpinan baru yang bersemangat dan berwawasan tinggi dan kejayaan pentadbiran baru ini bergantung kepada keupayaan menterjemah segala wawsasan itu kepada kenyataan.

"Wawasan baru ini saememangnya menitikberatkan isu integriti dan rasuah Slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" telah meletakkan unsur integriti iaitu dengan mendahulukan kepentingan umum daripada kepentingan peribadi," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain