suria

Perlis Pantau Urusniaga Petrol Dan Diesel Di Sempadan

KANGAR: Kerajaan Perlis mula membuat pemantauan sepenuhnya terhadap urusniaga petrol dan diesel di sempadan berikutan larangan penjualan minyak melebihi 20 liter kepada kenderaan asing berkuat kuasa semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna Negeri dan Penguatkuasaan Perlis Mat Rawi Kassim berkata para penguatkuasa itu akan menyamar di setiap stesen minyak bagi mengelak penyelewengan penjualan bahan bakar itu.

Bercakap kepada Bernama di sini, beliau berkata perjumpaan dengan para pengusaha stesen minyak dilakukan minggu lepas berhubung perkara itu.

Katanya kerajaan memandang serius aliran keluar berleluasa minyak petrol ke negara jiran dan jika ada pengusaha stesen minyak melanggar arahan, tindakan tegas akan diambil dengan menarik balik lesen perniagaan mereka.

Sejak awal tahun ini, sebanyak 36 kes rampasan minyak dilakukan di negeri ini.

Sebelum ini Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan melarang penjualan petrol dan diesel melebihi 20 liter kepada kenderaan asing dalam lingkungan 50 kilometer dari sempadan berkuat kuasa semalam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain