suria

Perlantikan Dua Ahli Akademik UM Ikut Prosedur

PETALING JAYA: Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Gauth Jasmon menafikan tuduhan wakil dari PAS bahawa dua ahli akademik yang dilantik universiti itu tidak berkelayakan.

Beliau berkata, pelantikan profesor dan dekan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) Dr David Ngo Chek Leng dan Pengarah Pusat Teknologi Maklumat (PTM) Dr David Asirvatham dilakukan mengikut prosedur. Ngo telah ditemuduga oleh jawatankuasa pemilihan professor dan diluluskan oleh Lembaga Universiti.

"Beliau pernah berkerja dengan saya di Universiti Multimedia (MMU) dan pernah menjadi dekan fakulti teknologi maklumat selama 6 tahun. Dari segi kelayakan, beliau memang cemerlang," katanya.

"Kalau ada MP menyatakan tidak ada temuduga, itu semua tidak betul," katanya dalam sidang media diadakan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dr Hou Kok Chung mengenai Persatuan Mahasiswa Bahasa Cina UM juarai pertandingan debat Mandarin antarabangsa di sini hari ini.

Prof Gauth menyangkal kenyataan oleh Ahli Parlimen, Mujahid Yusuf Rawa (PAS-Parit Buntar) yang mempersoalkan kelayakan Ngo dan Asirvatham.

Prof Gauth berkata, Asirvatham sebelum ini pengarah Centre of Multimedia and Application Development selama lapan tahun dan pengarah pusat computer di MMUjuga.

"Sebelum beliau ditawar bekerja di sini, beliau telah ditemuduga dan disyorkan oleh pihak pengurusan, baru ditawarkan bekerja mengikut kontrak," katanya.

Sementara itu, Dr Hou berkata, kerajaan berasa bangga terhadap pencapaian cemerlang Pasukan Debat Persatuan Bahasa Cina Universiti Malaya dalam

"Pertandingan Debat Juara antara Juara Antarabangsa di Macau pada 11 Disember lepas Walaupun sistem pendidikan di Malaysia dalam bentuk pelbagai aliran, namun ia tidak menjejaskan prestasi pelajar-pelajar dalam debat yang perlu bertutur dalam bahasa Mandarin, malah dapat mengalahkan pasukan-pasukan yang datang dari negara yang sistem pendidikannya hanya dalam bentuk satu atau dua aliran," katanya.

"Kejayaan ini membuktikan bahawa pelajar-pelajar kita mempunyai keupayaan yang sangat tinggi dan mampu bersaing di persada dunia, sambil menjadi yang terbaik di kalangan yang terbaik," katanya.

Hou berkata, Kementerian Pengajian Tinggi selaku penaung telah menyumbang peruntukan RM50,000 untuk Pertandingan Debat Bahasa Cina antara Insitusi-institusi Pengajian Tinggi Malaysia ke-12 tahun depan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain