suria

Perhilitan Rampas 22 Landak Di Rawang

SHAH ALAM: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor merampas 22 ekor landak raya, enam ular sawa dan seekor musang pulut dalam tiga serbuan sejak dua hari lepas.

Timbalan Pengarah Perhilitan Selangor, Mohammad Khairi Ahmad berkata, di dalam operasi yang bermula Selasa lepas, anggotanya menyerbu sebuah rumah di Bt 19 Jalan Kuang, Rawang pada 1 petang dan merampas 13 ekor landak yang masih hidup, seekor anak landak yang telah mati serta sekeping daging landak.

"Kemudian pada pukul 10.50 malam, anggota Perhilitan menyerbu sebuah rumah di Kampung Bukit Tempurung, Kuang dan merampas lapan ekor landak raya serta seekor musang pulut," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Semalam pula katanya, pada pukul 10.50 malam, pihaknya merampas tiga ekor ular sawa "Ball Phyton", dua ekor ular sawa "Burmese Phyton" dan seekor Ular Sawa Batik dari sebuah kedai binatang peliharaan di Seksyen 24 di sini.

Mohammad Khairi berkata, pihaknya sedang dalam proses mengambil keterangan daripada seorang pesara berusia 50 tahun dan seorang penjawat awam berusia 30 tahun yang didapati mengambil hidupan liar iaitu landak tanpa kebenaran.

Kedua-dua lelaki yang masih dalam jaminan polis itu boleh didakwa di bawah Seksyen 68 Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 dan boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala seorang lelaki berusia 28 tahun yang didapati menyimpan ular sawa itu tanpa kebenaran boleh didakwa di bawah Seksyen 68 Akta yang sama dan di bawah Seksyen 83 Akta yang sama kerana berniaga tanpa lesen.

Pemuda yang masih dalam jaminan polis itu boleh dihukum denda maksimum RM5,000 atau dua tahun penjara maksimum atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan, katanya.

Menurut Mohammad Khairi, landak-landak itu diternak untuk dijual kerana harga dagingnya yang tinggi iaitu RM80 sekilogram dan seekor induk dijual dengan harga RM400.

"Landak boleh diternak tetapi perlu mendapatkan permit atau lesen khas. Sementara musang dan ular sawa itu dipercayai untuk dijual kepada mereka yang berminat," katanya.

Beliau berkata, binatang yang dirampas itu akan dilepaskan di Kawasan Perlindungan Hidupan Liar Sungai Dusun. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain