suria

Pengecualian Pembayaran Bil Elektrik Kurang RM20 Dilanjutkan Sehingga Disember 2010

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju meneruskan pengecualian pembayaran bil elektrik sebanyak RM20 dan ke bawah sehingga Disember 2010 bagi pelanggan kategori domestik.

Pada pembentangan Bajet 2009, kerajaan membuat keputusan memberi pengecualian kepada isi rumah yang mempunyai bil elektrik RM20 ke bawah sebulan tidak dikenakan bayaran berkuat kuasa 1 Oktober 2008 sehingga bulan ini.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, kerajaan membuat keputusan untuk meneruskan kemudahan tersebut setelah menimbangkan kedudukan ekonomi negara yang masih belum pulih serta keprihatinan terhadap golongan yang berpendapatan rendah.

Menurutnya, kerajaan dijangka perlu menanggung kos sebanyak RM143 juta bagi meneruskan pengecualian itu bermula bulan depan.

"Pemberian pengecualian pembayaran bil elektrik itu adalah berasaskan kepada tuntutan sebenar bagi bulan berkenanan," katanya dalam kenyataan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Peter Chin, sejak program itu mula diperkenalkan, kerajaan menanggung purata kos sebanyak RM11.95 juta setiap bulan kepada pengguna-pengguna domestik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, sehingga September 2009, sebanyak RM143.4 juta telah dibayar oleh kerajaan untuk pengguna-pengguna domestik yang layak mendapatkan pengecualian tersebut.

Secara purata, tambah beliau, seramai 1.05 juta pelanggan isi rumah setiap bulan telah menikmati manfaat pengecualian ini.

"Sekiranya diandaikan setiap isi rumah dalam satu keluarga itu terdiri daripada dua hingga lima orang, manfaatnya ini adalah dinikmati oleh lebih ramai orang," jelas beliau.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian telah menerbitkan buku Panduan Penggunaan Tenaga Dengan Cekap di Rumah dan Buku Fiskal Insentif Tenaga Boleh Diperbaharui dan Kecekapan Tenaga untuk menggalakkan rakyat menggunakan tenaga elektrik secara berhemah.

Katanya, orang ramai boleh melayari www.kettha.gov.my untuk memuat turun salinan buku-buku panduan tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain