suria

Pekerja Kilang Papan Dihukum Gantung

JOHOR BAHARU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang pekerja kilang papan kerana mengedar dadah jenis kanabis Mei tahun lepas.

Muhammad Khairul Esa Jemali, 22, turut dikenakan hukuman penjara tiga tahun bermula dari tarikh ditangkap kerana kesalahan memiliki kanabis dan methamphetamine pada tarikh yang sama.

Pesuruhjaya Kehakiman Kamardin Hashim menjatuhkan hukuman terhadap Muhammad Khairul Esa selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bagi tuduhan pertama, Muhammad Khairul Esa didapati bersalah mengedar kanabis seberat 316.53 gram di sebuah bilik di Kilang Papan Selatan Malaysia, Batu 6, Jalan Mawai, Kota Tinggi, pada 7.30 pagi 8 Mei 2008.

Bagi tuduhan kedua, dia didapati bersalah memiliki 16.43 gram kanabis di alamat, waktu dan tarikh yang sama manakala bagi tuduhan ketiga, dia didapati bersalah memiliki 2.91 gram methamphetamine juga di alamat, waktu dan tarikh yang sama.

"Tertuduh didapati bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan. Saya tiada pilihan lain melainkan menjatuhkan hukuman mati bagi pertuduhan pertama, penjara tiga tahun bermula dari tarikh ditangkap (8 Mei 2008) bagi pertuduhan kedua dan penjara tiga tahun bermula dari tarikh ditangkap (8 Mei 2008) bagi pertuduhan ketiga," kata Hakim Kamardin.

Terdahulu, dalam rayuannya, Muhammad Khairul Esa yang memakai kemeja T merah dan kelihatan tenang, meminta hukuman yang ringan dengan alasan dia merupakan anak lelaki pertama dalam keluarga dan mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari manakala Muhamad Khairul Esa diwakili peguam Mohd Sujaa Halim.

Pihak pendakwaan sepanjang perbicaraan yang bermula 3 Nov lepas mengemukakan enam orang saksi manakala pihak pembelaan turut mengemukakan enam saksi termasuk tertuduh sendiri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain