suria

Pantai Barat Sabah Masih Berdepan Masalah Gula

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Sabah diminta menyiasat laporan berhubung kekurangan bekalan gula di kawasan pantai barat Sabah seperti Kota Kinabalu, Keningau, Sipitang dan Beaufort.

Naib Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Patrick Sindu berkata, persatuan itu menerima laporan daripada orang ramai mengenai kekurangan bekalan sejak beberapa minggu lepas, dan pemantauan di beberapa kedai runcit serta pasar raya mendapati masalah itu memang berlaku.

"Sebelum ini, kawasan pantai timur yang berdepan masalah kekurangan gula, sekarang di sini pula. Saya harap kementerian berkenaan akan berbuat sesuatu untuk mengatasi masalah ini," katanya.

Sehubungan itu, aktivis pengguna itu turut meminta kementerian dan agensi yang berkaitan supaya memantau aktiviti penyeludupan gula atau barangan keperluan lain di sempadan pantai, berikutan berlakunya kekurangan bekalan selain sambutan Hari Krismas yang bakal tiba.

"Pengguna turut diingatkan supaya tidak membazir makanan semasa musim perayaan ini dan cuba mengelak daripada berbelanja berlebihan memandangkan terdapat banyak tawaran jualan murah pengujung tahun," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain