suria

MAIK Pungut Zakat Lebih RM57 Juta Tahun Ini

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memungut zakat lebih RM57.2 juta daripada umat Islam sejak Januari tahun ini hingga semalam, iaitu meningkat lebih RM5.2 juta berbanding sepanjang tahun lepas.

Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Kamaruddin Mohd Zain berkata, peningkatan itu berikutan kesedaran umat Islam dalam menunaikan tanggungjawab mereka terhadap rukun Islam keempat itu.

Menurutnya, sepanjang tahun lepas MAIK berjaya memungut zakat sebanyak RM51.9 melalui zakat harta dan pendapatan sama ada daripada kalangan agensi kerajaan, anggota korporat dan individu.

"Kami amat berbangga kerana walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, kadar pungutan zakat MAIK meningkat setiap tahun," katanya kepada Bernama di pejabatnya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, jumlah pungutan yang diterima itu termasuk zakat fitrah. Kamaruddin berkata, kebanyakan badan korporat yang mengeluarkan zakat perniagaan dan harta mereka melalui MAIK terdiri daripada pemilik anak jati Kelantan yang berada di luar negeri ini.

"Ini adalah sesuatu yang membanggakan, kerana hasil pulangan perniagaan mereka dapat dimanfaatkan oleh rakyat negeri ini melalui program-program pembangunan yang dilaksanakan oleh MAIK," katanya.

Ini termasuk projek pembinaan rumah kos rendah untuk rakyat miskin, bantuan pendidikan dan bantuan bulanan kepada fakir miskin. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain