suria

Lelaki Indonesia Ditahan Menyamar Polis

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki warga Indonesia yang disyaki menyamar sebagai anggota polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kepong Baru di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata lelaki berusia 29 tahun itu ditahan kira-kira 3 pagi di sebuah rumah teres yang didiaminya berseorangan.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek mempunyai kaitan dengan satu kes dadah.

"Bagaimanapun siasatan lanjut mendapati beliau menyimpan uniform polis lengkap bersama gari, parang dan senjata taser ," katanya kepada pemberita semasa Majlis Perasmian Rumah Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) oleh isteri Menteri Dalam Negeri Tengku Datin Seri Marsilla Tengku Abdullah di sini, hari ini. Menurut beliau, siasatan turut mendapati suspek merupakan pendatang tanpa izin kerana polis tidak menjumpai dokumen pengenalan dirinya, sebaliknya menjumpai kad pengenalannya seorang warganegara Indonesia.

"Polis masih menyiasat kaitan suspek dengan kes-kes penyamaran yang lain dan kita juga menyiasat sama ada suspek mempunyai kumpulannya sendiri," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain