suria

Kutipan Zakat Di Melaka Cecah RM23 Juta

MELAKA: Pusat Zakat Melaka (PZM) sehingga semalam berjaya membuat kutipan pelbagai zakat secara keseluruhan berjumlah RM22,867,449 iaitu peningkatan 12.02 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, zakat pendapatan merupakan jumlah kutipan tertinggi iaitu RM9,827,289 manakala kutipan zakat terendah membabitkan zakat ternakan berjumlah RM35,443.

Beliau berkata, bilangan pembayar zakat pendapatan sehingga kini adalah 15,480 orang iaitu peningkatan sebanyak 967 orang berbanding tahun sebelumnya.

Mohd Ali dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka hari ini melafazkan akad zakat pendapatan mereka di pejabat Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Mohd Khalil turut menunaikan zakat pendapatan pada majlis itu.

Turut melafazkan akad zakat pendapatan ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Othman Muhammad, Pengerusi jawatankuasa Pelajaran, Sains dan Teknologi Negeri, Datuk Yaakub Md Amin dan Pengerusi jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Md Yunos Husin.

Mohd Ali berkata, sehingga 30 November lepas, Majis Agama Islam Melaka (MAIM) mengagih zakat RM23,674,311, berbanding RM18,631,351 dalam tempoh yang sama tahun tahun lepas iaitu peningkatan 27.07 peratus.

Beliau seterusnya meminta seluruh umat Islam di negeri Melaka yang masih belum melunaskan zakat agar segera berkunjung ke pejabat PZM yang berdekatan untuk merebut peluang melunaskan bayaran zakat harta tahun ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain