suria

Koperasi Perkenal Kad Setia Pada 2010

KUALA LUMPUR: Satu kad setia (loyal card) akan dikeluarkan kepada hampir tujuh juta ahli koperasi seluruh negara mulai tahun depan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kad itu akan membolehkan ahli koperasi mendapat rebat setiap kali membuat transaksi perniagaan di premis milik mana-mana koperasi dan sekaligus menggalakkan ahli membeli barangan yang dikeluarkan koperasi.

"Kad itu kini dalam peringkat kemas kini oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa). Hanya satu kad akan dikeluarkan kepada seorang ahli walaupun dia (ahli) menyertai banyak koperasi," katanya kepada pemberita selepas merasmi dan melancarkan produk keluaran Konsortium Koperasi Pengguna Malaysia Berhad (KKPMB) dan pembiayaan kereta nasional di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Ismail Sabri berkata, koperasi perlu sentiasa peka dengan perkembangan yang berlaku khususnya dalam sektor ekonomi dan pergerakan teknologi maklumat.

Beliau berkata, koperasi harus berubah dari perniagaan tradisi secara bersemuka antara pembeli dan peniaga kepada perniagaan secara elektronik iaitu menerusi e-dagang seperti yang dilaksanakan Koop Jiwa Shoppe, hasil kerjasama KKPMB dengan syarikat Jiwa Reality Sdn Bhd.

"Ini secara langsung membatalkan peranan orang tengah dan peniaga dapat menjual produk mereka dengan harga yang lebih murah," katanya.

Produk keluaran koperasi itu dijual secara dalam talian bagi mendapatkan pasaran yang lebih meluas.

Beliau berkata, usaha KKPMB itu merupakan titik permulaan untuk mewujudkan sebuah pasar raya besar milik koperasi sepenuhnya seperti yang wujud di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Pengerusi Jiwa Reality Sdn Bhd, Tengku Datuk Sri Kamarul zaman berkata, Koop Jiwa Shoppe pada masa kini memasarkan lebih 300 produk kecantikan, kesihatan dan makanan yang dikeluarkan oleh 25 buah koperasi yang bergabung di bawah KKPMB.

"Kami bercadang untuk menambah 200 lagi produk baru pada 2010 menjadikan jumlah keseluruhan 500," kata Kamarul.

Pada majlis itu juga satu perjanjian persefahaman ditandatangani antara Jiwa Reality Sdn Bhd, DRB Hicom dan Bank Mualamat bagi membolehkan ahli koperasi mendapat pembiayaan mudah tanpa pendahuluan dan kadar faedah serendah 3.6 peratus apabila membeli kereta keluaran nasional. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain